My #QuranTime di TV Alhijrah

Dari kiri: Fazrul, Ahmad Tirmizi dan Ahmad Tarmizi sebagai pentadabbur dan qari untuk membawa penonton berinteraksi dengan al-Quran selama sejam.
Dari kiri: Fazrul, Ahmad Tirmizi dan Ahmad Tarmizi sebagai pentadabbur dan qari untuk membawa penonton berinteraksi dengan al-Quran selama sejam.
A
A
A

MY #QuranTime, rancangan terbaru di TV Alhijrah selepas Malaysia #QuranTime: Musaadah Covid-19, bakal melakarkan sejarah apabila memfokuskan 114 surah untuk dibaca dan ditadabbur setiap hari pada jam 12 hingga 1 tengah hari bermula 8 Jun ini.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program berinteraksi dengan al-Quran kali ini lebih istimewa kerana pendekatan dengan penonton untuk bersama al-Quran sejam setiap hari.

“Ia diharapkan menjadi khazanah atau rujukan dalam bentuk video untuk belajar dan bertadabbur al-Quran dari halaman 1 hingga halaman terakhir 604.

“Awalnya, Musaadah Covid-19 Malaysia #QuranTime bersiaran di TV Alhijrah di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 18 Mac. Program itu membawa penonton untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini memfokuskan pengisian emosi dan spiritual dalam menghadapi cabaran Covid-19.

“Kami sebenarnya tidak jangka sambutan luar biasa apabila menerima lebih 1.5 juta penonton Malaysia #QuranTime.

“Ramai penonton meminta program tersebut diteruskan agar sentiasa bersama dengan al-Quran. Ia selari dengan matlamat kempen My #QuranHour yang diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu. Bersama TV Alhijrah, kita teruskan dengan projek My #QuranTime.

“Kami menyasarkan projek tersebut untuk menjadikan kebiasaan sejam sehari kita berinteraksi dengan al-Quran, melalui baca, faham dan amal.

“Kita fokus kepada solusi al-Quran dalam menangani cabaran dalam diri, keluarga, komuniti, organisasi, negara dan global.

Artikel Berkaitan:

“Nilai-nilai yang kita pelajari melalui panduan al-Quran dapat membentuk kerangka fikir, sistem operasi diri dan akhlak mulia seterusnya mencapai misi mengQurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah.

“Apabila keluarga dan rakyat faham dengan nilai yang dibangunkan al-Quran, maka lahir tabiat yang lebih banyak masa dengan al-Quran, solat dan infaq (QSI),” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Ujian Covid-19

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alhijrah Media Corporation, Namanzee Harris berkata, gabungan serta kerjasama erat TV Alhijrah dan WUIF yang mempunyai pengalaman dan kemahiran masing-masing dalam satu landasan sama dapat menghasilkan formula yang sempurna program My #QuranTime yang sempurna untuk dipersembahkan kepada orang ramai.

“Jumlah tontonan melebihi 1.5 juta bagi Malaysia #QuranTime sepanjang musim PKP dan PKPB, kita mengambil langkah untuk mengadakan fasa seterusnya iaitu My #QuranTime.

“Pendekatan QuranTime adalah hasil cetusan perkataan Quarantine Time daripada WUIF dalam membantu masyarakat menghadapi tekanan ujian Covid-19.

“Hasil perbincangan dengan Pengerusi TV Alhijrah, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Marhaini, kita menjadikan My #QuranTime lebih bersifat peribadi kepada penonton.

“Program tersebut akan berterusan selama hampir tiga tahun di mana kita akan review bersama team TV Alhijrah, WUIF, Jakim dan Sinar Harian.

“Kita meletakkan keyakinan penuh apabila meletakkan program al-Quran sebagai landasan utama, ia merupakan pemangkin kejayaan program-program dakwah yang sedia ada. Ia umpama salah satu ‘ibu’ program di TV Alhijrah,” katanya.

Jelasnya, ramai penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan kerabat diraja, profesional, ahli politik mahupun orang awam memberi maklum balas positif dan mengharapkan #QuranTime diteruskan.

My #QuranTime mengekalkan pentadabbur, Fazrul Ismail iaitu Ketua Pegawai Penyelidik WUIF dan dua qari iaitu Ustaz Ahmad Termizi Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman.

“Gabungan ketiga-tiga individu itu telah berjaya menarik minat orang ramai dari segi persembahan, pengolahan dan penyampaian intipati ayat al-Quran.

“Kita akan mengekalkan formula yang sama, cuma ada beberapa penambahbaikan sedikit dari segi look and feel di set serta pengisian tema tersendiri setiap hari. Konsep My #QuranTime lebih fokus tema berkaitan kehidupan kita seharian dengan berpandukan al-Quran.

“Orang ramai juga berpeluang menonton My #QuranTime menerusi FB LIVE TV Alhijrah.

“Saya secara peribadi berharap penonton My #QuranTime dapat membudayakan kehidupan mereka selama sejam bersama al-Quran setiap hari, tidak kira bila dan di mana mereka berada.

“TV Alhijrah turut menyediakan program dakwah untuk kembali melihat al-Quran sebagai sumber rujukan agar kita boleh mendapat petunjuk dan menterjemahkan apa yang terkandung dalam al-Quran sebagai cara hidup kita,” katanya.

Namanzee berkata, program #QuranTime turut menarik minat golongan korporat dan agensi kerajaan untuk menaja.

“Saya yang mempunyai latar belakang dalam bidang penyiaran dan komunikasi melihat media penyiaran memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju idea dan sikap masyarakat.

“Kita sebagai peneraju program bersifat Islamik berasa pentingnya program TV yang berlandaskan al-Quran dan agama agar ada sifat mendidik sambil menghibur yang seimbang,” katanya.