KKM keluarkan unjuran terbaharu Covid-19 esok

Dr Noor Hisham semasa hadir pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham semasa hadir pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan unjuran terbaharu mengenai penularan koronavirus (Covid-19) di negara ini esok berpandukan data yang diperoleh dalam tempoh sebulan lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, model unjuran akan turut memberi jangkaan kedudukan negara ini dalam menangani wabak itu pada masa akan datang.

Katanya, ia juga akan membantu KKM untuk merangka strategi kawalan penularan jangkitan pandemik berkenaan.

"Mungkin esok kita akan kongsikan permodelan untuk melihat kepada jangkaan di mana Malaysia pada sebulan lalu, hari ini dan akan datang.

"Yang libatkan warganegara, kita dapati mereka patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan apabila mereka patuh ia bermakna 'R naught' (kebolehjangkitan) untuk rakyat Malaysia adalah kurang daripada 0.3 peratus," katanya pada sidang akhbar harian mengenai situasi Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebolehjangkitan dalam kalangan bukan warganegara mencatatkan angka lingkungan 0.3 peratus.

"Bagi bukan warganegara, kalau kita tolak individu di depot tahanan imigresen (DTI) dan kes import, kita dapati kawalan masih dalam lingkungan 0.3 peratus.

"Jadi setiap hari kita masih memantau dari segi perkembangan jangkitan ini dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, apa yang penting ketika ini tumpuan diberikan terhadap bukan warganegara supaya mereka mematuhi SOP sebagaimana dilakukan rakyat Malaysia.

Katanya, perhatian juga diberikan terhadap kekangan yang dialami bukan warganegara seperti keadaan penginapan dan persekitaran mereka.

"Majikan juga perlu mengingatkan pekerja mereka agar patuh kepada SOP dan perlu melakukan langkah-langkah pencegahan dan menjaga kebersihan," katanya.