Covid-19: Thailand lapor empat kes baharu, sifar kematian

Thailand melaporkan empat kes baharu Covid-19 kesemuanya melibatkan rakyat Thailand yang kembali dari luar negara.
Thailand melaporkan empat kes baharu Covid-19 kesemuanya melibatkan rakyat Thailand yang kembali dari luar negara.
A
A
A

BANGKOK - Thailand melaporkan empat kes baharu koronavirus (Covid-19) kesemuanya melibatkan rakyat Thailand yang kembali dari luar negara dan sifar kematian sepanjang 24 jam yang lalu menjadikan jumlah keseluruhan 3,081 kes dengan 57 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Panprapa Yongtrakul berkata, pesakit baharu itu berusia lingkungan 18 dan 37 tahun, tiba di Thailand dari Emiriah Arab Bersatu, Turki serta Arab Saudi dan mereka sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di fasiliti negeri.

Beliau berkata, pesakit baharu itu termasuk seorang pelajar lelaki berusia 22 tahun yang kembali dari Arab Saudi dan mendarat di Kuala Lumpur serta menaiki bas ke Narathiwat melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis.

“Daripada 3,081 kes positif itu, sejumlah 144 kes dikesan di fasiliti kuarantin,” katanya dalam taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Sehingga kini, sejumlah 2,963 pesakit telah sembuh dan discaj dari hospital manakala 61 masih berada di wad.

Bermula esok, Thailand akan memulakan fasa ketiga dengan melonggarkan lagi sekatan, membuka lebih banyak perniagaan termasuk pusat spa dan urut, pawagam dan teater serta zoo dengan langkah kesihatan yang lebih ketat untuk mencegah penularan wabak.

Selain itu, tempoh perintah berkurung dipendekkan selama satu jam dari jam 11 malam hingga 3 pagi. - Bernama

Artikel Berkaitan: