17,588 individu dikuarantin di Johor

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 17,588 individu sudah dikuarantin di negeri ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga kelmarin.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, proses kuarantin itu melibatkan pelancong, pelajar, pekerja Malaysia di Singapura termasuk sesiapa sahaja yang pulang dari luar negara.

"Mereka semuanya masuk melalui pintu-pintu masuk antarabangsa yang terdapat di negeri ini. Buat masa ini, tiada kes pelanggaran atau ingkar kuarantin yang direkodkan di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 221 stesen kuarantin di Johor diwartakan dan daripada jumlah itu, 57 stesen kuarantin telah diaktifkan.

Bagaimanapun beliau berkata, hanya 32 stesen kuarantin yang beroperasi sehingga kelmarin dan setiap orang yang dikuarantin diberikan perintah isolasi atau perintah pengawasan dan pemerhatian di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Kegagalan mematuhi perintah katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta berkenaan iaitu bagi kesalahan pertama boleh dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Beliau berkata, di Johor seramai 5,140 individu diberikan perintah pengawasan dan pemantauan di rumah sebelum penguatkuasaan pengawasan dan pemerhatian di stesen kuarantin pada 8 April lalu.

Vidyananthan berkata, bagi individu yang menjalani pengawasan dan pemantauan di rumah, mereka perlu mematuhi arahan iaitu sentiasa berada di kediaman masing-masing dan boleh dihubungi setiap masa sepanjang tempoh pengawasan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mereka juga perlu hadkan pelawat atau tetamu yang datang ke rumah dan kekalkan jarak sekurang-kurangnya satu meter dari mereka yang sihat.

"Sentiasa amalkan adab batuk yang baik, pakai topeng muka sekiranya keluar dari bilik, elakkan bergaul dengan orang lain dan elakkan berkongsi peralatan makanan dan penjagaan diri.

"Sekiranya bergejala, sentiasa pakai topeng muka dan jika tidak memakai topeng muka gunakan tisu apabila batuk dan bersin. Buang tisu yang digunakan dalam tong sampah dan cuci tangan serta merta dengan sabun atau hand sanitiser," katanya.

Katanya, mereka perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat bagi sebarang gejala atau gejala bertambah teruk selain memastikan pengudaraan rumah dalam keadaan baik dengan membuka tingkap.