X

Kindly register in order to view this article
!

Cubaan dua lelaki Rohingya rentas negeri bawa padah

Dua lelaki Rohingya hadir ke mahkamah untuk mendapat perintah tahanan reman hari ini.
A
A

ARAU - Kedegilan dua lelaki Rohingya yang berkeras untuk merentas negeri dengan alasan mencari kerja di Perlis membawa padah apabila mereka ditahan di sekatan jalan raya di Jelompok Arau di sini semalam.

Sebelum ditahan, lelaki berusia 26 dan 40 tahun itu memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan merayu kebenaran polis untuk merentas negeri dalam kejadian 7.45 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, kedua-duanya ditahan selepas tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka mempunyai kad Pesuruhjaya Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bergerak dari Tunjang, Jitra untuk mencari kerja di Perlis.

"Polis turut merampas kereta Proton Waja milik suspek yang baru sahaja dibeli pada Januari lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki tersebut direman empat hari bermula hari ini sehingga Rabu bagi membantu siasatan.

Menurut Nanda, sebanyak lima tangkapan warga asing melibatkan Jerman, Indonesia dan Rohingya yang cuba merentas negeri dilakukan Polis Arau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sementara itu, di Kangar, polis turut menahan dua lelaki Bangladesh yang merentas negeri untuk bersiar-siar menaiki motosikal di Simpang Empat pada 12 tengah hari semalam.

Kedua-dua direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan-peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Kesemua mereka akan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus