Chikungunya di Perak meningkat lebih 30 kali ganda

Kenyataan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Perak mengenai kes chikungunya di negeri itu yang meningkat lebih 30 kali ganda dalam tempoh lima bulan.
Kenyataan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Perak mengenai kes chikungunya di negeri itu yang meningkat lebih 30 kali ganda dalam tempoh lima bulan.
A
A
A

IPOH - Penyakit chikungunya di Perak mencatatkan peningkatan lebih 30 kali ganda dalam tempoh lima bulan berbanding 2019.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, sebanyak 454 kes direkodkan bermula Januari hingga 23 Mei lalu berbanding 13 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Peningkatan sebanyak 441 kes iaitu melebihi 30 kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

"Daerah Kampar mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 157 kes diikuti Larut, Matang dan Selama (109 kes) dan Kinta dengan 99 kes. Kinta juga menunjukkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak chikungunya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, terdapat 15 lokaliti wabak chikungunya yang masih aktif dilaporkan.

"Satu lokaliti wabak tidak terkawal di Kinta manakala 14 lokaliti wabak terkawal iaitu 12 lokaliti di Kinta dan dua di Kampar.

"Tiada kematian disebabkan penyakit ini dilaporkan sehingga kini," katanya.

Lay Ming berkata, pembiakan aedes dikesan sebagai punca utama perebakan jangkitan chikungunya di lokaliti-lokaliti terlibat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak 4,969 bekas positif pembiakan nyamuk aedes telah ditemui bermula awal tahun sehingga 23 Mei lalu.

"Pihak jabatan telah melaksanakan pelbagai usaha antaranya aktiviti pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan serta tindakan penguatkuasaan," katanya.

Katanya, orang awam dinasihatkan untuk menjaga kebersihan persekitaran dan melindungi diri daripada gigitan nyamuk serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan.