RM2 juta baiki tebing runtuh

Runtuhan tebing di belakang rumah penduduk di Jalan Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa hari ini.
Runtuhan tebing di belakang rumah penduduk di Jalan Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa hari ini.
A
A
A

AMPANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM2 juta bagi kos pembaikan melibatkan pembinaan tembok penahan di kawasan runtuhan yang melibatkan tujuh buah rumah terjejas di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, peruntukan tersebut diluluskan serta-merta bagi membolehkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melakukan kerja awal untuk mengurangkan kesan runtuhan.

Menurutnya, kerja baik pulih itu dijangka mengambil masa enam bulan dan penduduk diminta mengosongkan unit dalam tempoh itu bagi memberi laluan kerja-kerja tersebut.

"Penduduk terlibat akan ditempatkan di Hotel De Palma Ampang untuk tempoh seminggu bagi memberi masa kepada mereka mencari rumah sewa yang lebih selesa.

"Kos tersebut akan ditampung secara bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan juga Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa)," katanya.

Rekahan disebabkan runtuhan tanah di Jalan Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa hari ini.
Rekahan disebabkan runtuhan tanah di Jalan Kelab Ukay 4, Bukit Antarabangsa hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi runtuhan yang turut dihadiri Mohamed Azmin dan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain di sini hari ini.

Terdahulu, 40 mangsa diminta mengosongkan unit masing-masing bagi tujuan keselamatan selepas berlaku runtuhan tanah hingga menjejaskan tujuh deretan rumah dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bahawa pergerakan tanah di kawasan itu masih aktif.

"JMG memohon penduduk mengosongkan unit dalam tempoh 48 jam bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Beliau turut memberitahu sudah bertemu dengan beberapa wakil keluarga ketika hadir meninjau lokasi berkenaan.

"Selain itu, perbincangan ringkas bersama MPAJ dan JMG diadakan supaya siasatan menyeluruh dapat dilakukan selain tindakan segera diambil," katanya.