Sekatan jalan

A
A
A

Kini, di seluruh negara sekatan jalan raya dipasang di banyak tempat. Ia dijaga oleh pihak keselamatan dengan tujuan untuk memastikan pergerakan rakyat dapat dihadkan bagi mengelakkan penularan koronavirus yang lebih parah daripada sekarang.

Saya teringat pengalaman keluarga kami pada hujung tahun 1959 dan awal 1960, iaitu hujung zaman darurat Persekutuan Tanah Melayu yang menghadapi ancaman komunis. Dari Jun 1948 hingga 12 Julai 1960, Darurat Tanah Melayu mengorbankan ribuan nyawa di kedua-dua pihak yang bersengketa. Britain (dan sekutunya), Malaya dan Singapura melawan angkatan bersenjata Parti Komunis Malaya yang disokong untuk seketika oleh China dan Soviet Union.

Oleh kerana syarikat insurans di London tidak membayar pihak yang menuntut dalam keadaan perang saudara dalam kalangan penduduk Tanah Melayu daripada keturunan Melayu, Cina dan India, Britain menggelar konflik bersenjata itu sebagai satu emergency. Di bandar Johor Bahru sendiri, hingga awal dasawarsa 1970-an, mereka yang menyokong ideologi komunis masih diketahui berada di tengah-tengah masyarakat.

Masa itu ayah (1919-2008) ialah seorang penolong pensyarah di Pusat Latihan Guru di Bukit Senyum, Johor Bahru, di lereng Bukit Senyum, tidak jauh dari Muzium Tokoh sekarang. Nama ayah sebagai seorang penulis, sejarawan dan budayawan sudah mula harum ketika itu.

Ayah membawa keluarganya ke Kampung Peserai, Batu Pahat untuk menziarahi ibundanya serta ayah ibundanya (mantan penghulu Peserai). Inilah kebiasaan ayah saban tahun. Perjalanan dari Johor Bahru ke Batu Pahat yang mengikuti jalan lama berliku-liku, sempit dan gelap. Ayah pernah bercerita bahawa sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua, pemandu kereta perlu berhenti di tepi jalan rimba yang sempit di luar pekan Batu Pahat apabila sang harimau berehat di tengah-tengah jalan. Buaya pula masih didapati berenang-renang di Sungai Batu Pahat. Malahan Sungai Sarang Buaya yang tidak jauh dari Batu Pahat (ke arah Muar) memang benar-benar sarang buaya yang terkenal dan digeruni ketika itu.

Tidak sukar untuk saya mengenang kembali suasana pekan kecil dan terpencil; walaupun imejnya tinggal berbalam-balam dalam memori. Antaranya ialah Skudai, Senai, Kulai dan Simpang Renggam yang kami lalui dalam perjalanan itu. Selalunya musafir dari Johor Bahru yang menuju Batu Pahat akan berasa lega bila sampai di pekan kecil Air Hitam, kerana tiga perempat perjalanan telah dilalui. Namun Pekan Air Hitam tidaklah sekecil Simpang Renggam, Kulai atau Senai. Jelas dalam ingatan saya satu-satunya simpang empat tanpa lampu isyarat terletak di tengah-tengah pekan itu.

Musafir

Sebuah perigi yang sibuk dengan orang lelaki dan wanita yang mengambil air terletak betul-betul di tengah-tengah simpang empat Air Hitam itu. Sebuah balai polis yang menenangkan perasaan para musafir terletak di sisi sebatang daripada empat batang jalan raya simpang empat itu.

Pada tahun 1960, keadaan Air Hitam masih tidak sibuk dengan kenderaan. Ayah yang tidak suka memandu laju Opel Rekordnya membolehkan saya menikmati pemandangan keliling termasuk aktiviti di sekeliling perigi tunggal Air Hitam.

Artikel Berkaitan:

Sebaik-baik saja para musafir dari Johor Bahru tiba di Air Hitam, mereka mempunyai beberapa pilihan, yakni teruskan perjalanan ke: i. Kluang, Kahang, Jemaluang dan Mersing; atau ii. Yong Peng ke Labis dan Segamat, atau Yong Peng ke Pagoh dan Tangkak; atau iii. Parit Raja, Sri Gading, Peserai dan Batu Pahat. Memori saya merakamkan rasa lega bila kami meninggalkan Air Hitam dan terus ke arah Batu Pahat. Jalan lebih terang dan tidak banyak hutan. Banyak kampung di sepanjang jalan.

Satu lagi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah deretan sekatan polis atau tentera di sepanjang perjalanan kami. Anggota keselamatan akan memeriksa semua bahagian kereta daripada but kereta di belakang hinggalah bawah tempat duduk. Tujuannya adalah untuk memastikan tiada bahan makanan yang dibawa kerana dikhuatiri bahan itu menjadi bekal untuk angkatan komunis. Bila kereta ayah diperiksa, susu serbuk adik bongsu saya akan ditunjukkan kepada pihak keselamatan yang kelihatan mesra dengan para musafir.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penggiat masyarakat dan pakar psikiatri