Korea Selatan laksana semula sekatan sosial

Hanya satu daripada tiga pelajar dibenarkan ke sekolah manakala rakan yang lain perlu menjalani sesi pembelajaran pada jarak jauh di bawah langkah lockdown baharu di Seoul itu. - FOTO: AFP
Hanya satu daripada tiga pelajar dibenarkan ke sekolah manakala rakan yang lain perlu menjalani sesi pembelajaran pada jarak jauh di bawah langkah lockdown baharu di Seoul itu. - FOTO: AFP
A
A
A

SEOUL - Korea Selatan melaksanakan semula siri langkah penjarakan sosial di ibu negara itu berikutan lonjakan kes jangkitan baharu koronavirus (Covid-19) dalam tempoh hampir dua bulan selepas ia berjaya mengawal wabak tersebut.

Menteri Kesihatan, Park Neung-hoo berkata, muzium, taman awam dan galeri seni akan ditutup semula selama dua minggu bermula hari ini hingga 14 Jun depan, malah syarikat juga diminta untuk memperkenalkan semula waktu bekerja lebih fleksibel di bawah langkah tersebut.

Penduduk di Seoul turut dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang acara sosial atau pergi ke tempat sesak termasuk restoran dan bar sebagai langkah membendung penularan virus tersebut.

“Bagi tempoh dua minggu akan datang adalah sangat penting untuk mencegah jangkitan di kawasan metropolitan yang mempunyai populasi kira-kira 51 juta penduduk,” ujarnya.

Di bawah langkah sekatan baharu itu, hanya satu daripada tiga murid tadika, sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di Seoul dibenarkan ke sekolah pada setiap hari.

Langkah itu terpaksa dibuat selepas Korea Selatan melaporkan peningkatan kes jangkitan baharu dalam tempoh 53 hari selepas ia berjaya mengawal wabak itu.

Difahamkan, penularan kluster terbaharu itu dikesan di sebuah gudang firma e-dagang, Coupang di Bucheon, barat Seoul telah merekodkan 96 kes jangkitan.

“Kami telah menasihatkan kakitangan Coupang dan ahli keluarga mereka supaya tidak pergi ke mana-mana sekolah,” kata Timbalan Menteri Pendidikan, Park Baeg-beom.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (CDC) melaporkan 79 jangkitan baharu dan 67 daripadanya di kawasan metropolitan Seoul selepas sekatan di seluruh negara ditarik balik pada 6 Mei lalu.

Beberapa minggu lalu, lebih 250 jangkitan baharu turut dikesan di kluster kelab malam dan bar di daerah Itaewon. - Agensi