X

Kindly register in order to view this article
!

Hentikan sementara pekerja asing tidak praktikal: KKM

Pekerja asing - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyifatkan cadangan supaya semua pekerja asing berhenti kerja sementara bagi melakukan ujian saringan wabak koronavirus (Covid-19) tidak praktikal untuk dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian mengambil tempoh lama kerana ramai pekerja asing di negara ini.

"Cadangan tersebut tidak praktikal, jadi kalau kita lihat kemampuan makmal (untuk jalankan ujian) setakat ini mungkin dalam 30,000 (sehari).

"Kalau kita berhentikan semua sektor (libatkan warga asing) untuk jalankan saringan dulu, mungkin mereka kena tunggu berbulan-bulan sebelum sektor itu boleh berfungsi kembali kerana kita ada 5 juta (pekerja asing)," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KKM akan mengesyorkan cadangan supaya semua pekerja asing berhenti kerja sementara untuk melakukan saringan wabak tersebut.

Jelas Dr Noor Hisham, KKM mengambil inisiatif melaksanakan pendekatan tertumpu dalam mengesan jangkitan wabak tersebut dalam kalangan pekerja asing.

"Jadi kalau kita kenal pasti seorang (dalam kalangan pekerja asing) ada gejala kita terus lakukan ujian dan jika ujian positif kita akan pastikan saringan dan uji satu kluster tersebut.

"Tindakan yang kita laksanakan menumpukan proses saringan terhadap golongan sasar," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus