Kes Covid-19 kembali tiga angka, lonjakan kes libatkan warga asing

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kes baharu positif wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini kembali kepada angka tiga digit apabila 103 kes direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif wabak tersebut meningkat kepada 7,732 kes.

Menurutnya, lonjakan kes baharu dilaporkan pada hari ini disebabkan kes dalam kalangan bukan warganegara.

"Ingin dimaklumkan daripada 103 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Selain itu, daripada 96 kes penularan tempatan, 84 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia di mana 53 kes dikesan daripada Kluster Pedas dan 24 kes daripada Kluster Syarikat Pembersihan.

"Oleh itu, kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia adalah 12 kes sahaja," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 66 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,235 kes atau 80.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Artikel Berkaitan:

"Ingin dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kekal 115 orang," katanya.