PBT berhak tutup taman rekreasi langgar SOP: Ismail Sabri

smail Sabri pada sidang media harian PKP di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
smail Sabri pada sidang media harian PKP di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai hak untuk menutup kawasan rekreasi dan taman awam sekiranya mendapati ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) jelas menggariskan perkumpulan ramai termasuk dalam senarai aktiviti terlarang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kuasa menutup seperti Tasik Titiwangsa adalah hak PBT untuk mengambil tindakan menutup apabila melihat bahawa SOP dilanggari kerana berkumpul lebih daripada sepatutnya.

“Jadi, itu saya serahkan kepada PBT kalau di Kuala Lumpur, sudah tentulah DBKL yang boleh membuat keputusan, kalau ada tempat lain pun terserah kepada PBT masing-masing untuk membuat keputusan menutup atau tidak,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKPB hari ini.

Semalam, DBKL menerusi Facebooknya memaklumkan Taman Tasik Titiwangsa di sini ditutup sepenuhnya kepada awam sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: Taman Tasik Titiwangsa ditutup selepas diserbu orang ramai

Ia bertujuan mengelak penularan wabak koronvirus (Covid-19) ekoran kehadiran ramai pengunjung ke taman tersebut.

Ismail Sabri berkata, setakat semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 114 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB terdiri daripada 86 individu direman manakala 28 individu dijamin.

Artikel Berkaitan:

“PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 433 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB, namun tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 114 kompaun dikeluarkan di lapangan dengan 108 di sekatan jalan raya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, keputusan untuk kembali membenarkan suami isteri hujung minggu untuk merentas negeri hanya akan dibuat sebelum PKPB tamat pada 9 Jun ini.

"Kita memahami situasi yang dialami mereka dan menerima permohonan untuk membenarkan mereka merentas negeri hampir setiap hari.

“InsyaAllah, kita akan tengok perkara ini dan jika kita rasa kita akan boleh benarkannya, saya akan umumkan tetapi tarikh tunggu sementara,” katanya.

Menurutnya, kebenaran merentas negeri bagi pelajar yang mendapat panggilan temu duga di institusi pengajian tinggi (IPT) masih tidak dibenarkan dan pelajar terbabit boleh ditemu duga secara dalam talian.

"Perkara ini telah pun dilaksanakan sebenarnya. Universiti sudah menjalankan temu duga secara dalam talian sejak April lagi.

"Mungkin ada persoalan mengenai kawasan yang tiada talian internet, universiti membenarkan pelajar merakam video menggunakan telefon bimbit dan hantar kepada universiti," katanya.

Sementara itu, katanya, proses penghantaran pulang pelajar IPT terus dilaksanakan dengan 287 orang lagi pulang ke Kota Kinabalu, Sabah melalui satu penerbangan dari Kuala Lumpur semalam.

"Hari ini, seramai 1,193 pelajar dijadualkan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Pengajian Tinggi sudah memastikan semua pelajar terbabit menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan pulang. - Bernama