X

Kindly register in order to view this article
!

Projek pembesaran LTAPP mungkin tangguh

Kon Yeow mengetuai rombongan kerajaan negeri mengadakan lawatan ke LTAPP di Bayan Lepas. - Foto Facebook Chow Kon Yeow
A
A

GEORGE TOWN - Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang dijadual bermula pada Jun ini berkemungkinan ditangguh susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkaitan berkenaan status projek itu.

"Walaupun projek menaik taraf LTAPP telah mendapat kebenaran merancang dan kelulusan pelan bangunan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), tetapi kini bukan masa yang sesuai untuk memulakan projek ini memandangkan keadaan tidak menentu lagi. Kalau penularan Covid-19 masih berlarutan, lapangan terbang ini masih tidak akan dapat digunakan dengan sebaiknya.

"Justeru, pihak pengurusan perlu membuat pertimbangan sama ada pembesaran LTAPP akan membawa manfaat atau sebaliknya. Kerajaan negeri dimaklumkan bahawa keputusan jelas mengenai perkara berkaitan mungkin ditentukan dalam tempoh antara enam bulan hingga setahun dari sekarang," katanya menerusi hantaran di Facebook peribadinya di sini, malam tadi.

Terdahulu, Kon Yeow mengetuai rombongan kerajaan negeri mengadakan lawatan ke LTAPP di Bayan Lepas, dekat sini bagi meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berhubung Covid-19 di lapangan terbang itu.

Kon Yeow berkata, penularan Covid-19 juga telah 'membelakangkan' pencapaian terutamanya melibatkan sasaran jumlah penumpang di LTAPP yang sepatutnya menyaksikan kira-kira 8.5 juta penumpang pada tahun ini.

"Jadi, amat ketara penerbangan dan pelancongan adalah sektor yang amat terkesan dengan Covid-19. Kegiatan pelancongan, peruncitan dan sebagainya turut terjejas oleh kerana penerbangan dihentikan dan sekatan penerbangan yang dikenakan bukan sahaja di Malaysia malah hampir di seluruh dunia.

"Saya berharap semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemain industri dapat menghadapi cabaran ini bersama-sama. Walau apa pun, kita perlu bertahan sehingga keadaan pulih dengan sepenuhnya," tambah beliau.

Projek pembesaran LTAPP yang dianggar bernilai RM800 juta itu telah diluluskan MBPP semasa mesyuarat akhir Unit Pusat Setempat (OSC) pada 3 Dis tahun lepas dan sepatutnya dilaksanakan secara berperingkat melibatkan empat fasa yang terdiri daripada lima pakej pembinaan.

Projek itu membolehkan LTAPP menampung sehingga 12 juta penumpang berbanding kapasiti semasa iaitu 6.5 juta penumpang ketika ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!