PPNK sedia runding semula tuntutan ganti rugi batal konsesi balak

Wan Muhammad Amin Mokhtar
Wan Muhammad Amin Mokhtar
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Perkayuan Negeri Kedah (PPNK) bersedia berunding semula dengan kerajaan negeri baharu diterajui Perikatan Nasional berhubung isu tuntutan ganti rugi akibat pembatalan konsesi sebelum ini.

Pengerusinya, Wan Muhammad Amin Mokhtar berkata, pihaknya berlapang dada untuk berbincang dengan kerajaan negeri berhubung kemelut itu bagi memastikan satu penyelesaian yang adil dan saksama dapat dicapai.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik usaha murni Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang berhasrat meneliti semula opsyen penyediaan pampasan kerugian kepada pengusaha industri perkayuan negeri.

“Sejak keputusan pemberhentian aktiviti usaha hasil di Hutan Simpan Ulu Muda dibuat pada hujung tahun 2018, anggaran nilai kerugian keseluruhan yang ditanggung pengusaha dan ekonomi negeri mencecah RM2 bilion,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Wan Muhammad Amin berkata, penelitian semula tuntutan pembayaran pampasan ini berupaya membuka ruang kepada pengusaha untuk terus menyumbang ke arah pembangunan berterusan ekonomi negeri.

“Persatuan melihat keprihatinan kerajaan negeri ini sebagai usaha murni untuk memelihara kepercayaan dan amanah yang dipegang kerajaan negeri selaku penerima bayaran premium yang telah dijelaskan sebelum ini.

"Kami amat menghargai kejujuran ditunjukkan dan tiada masalah untuk duduk berbincang semula kerana tuntutan sebelum ini diserahkan kepada kerajaan negeri terdahulu,” katanya.

Mengulas mengenai kesediaan kerajaan negeri mempertimbangkan untuk penggantian kawasan pembalakan di tempat bersesuaian sebagai antara opsyen, Wan Muhammad Amin berkata, PPNK menyerahkan keputusan berkenaan kepada kepimpinan negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah untuk diperhalusi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kedah tidak berhasrat teroka kawasan baharu pembalakan

“Persatuan menghormati sebarang keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri sama ada untuk menggantikan kawasan usaha hasil sekarang dengan kawasan lain yang mempunyai nilai setimpal dengan kawasan sebelum ini yang dibenarkan kepada pengusaha,” katanya.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini pihaknya enggan mendedahkan jumlah tuntutan sebenar ganti rugi dan bercadang mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar terlebih dahulu bagi merungkai kekeliruan yang timbul.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendedahkan nilai tuntutan mencecah RM1.5 bilion dan pihaknya tidak mampu menunaikan tuntutan sebanyak itu, kemungkinan ia boleh digantikan dengan kawasan pembalakan lain yang sesuai namun pada masa sama mematuhi peraturan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mana mai sampai RM1 bilion, Mukhriz bidas Sanusi