Covid-19: KKM minta orang ramai elak 3S, amal 3W, ingat S.O.P

Jumlah keseluruhan sembuh dan discaj dipaparkan pada skrin semasa sidang media harian Dr Noor Hisham berkaitan jangkitan Covid-19 di KKM hari ini.
 -Foto Bernama
Jumlah keseluruhan sembuh dan discaj dipaparkan pada skrin semasa sidang media harian Dr Noor Hisham berkaitan jangkitan Covid-19 di KKM hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya patuh kepada semua nasihat dan saranan yang sering ditekankan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beberapa amalan perlu dijadikan sebagai norma dan kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, antara amalan terbabit adalah mengelakkan 3S (crowded, confined, close) iaitu kawasan sesak dan sempit serta bersembang atau bertutur dalam jarak yang dekat.

“Amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), sangat digalakkan memakai alat topeng muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran (warn) dari KKM yang lebih berkonsep peringatan.

“Peringatan tersebut seperti elak bersalaman atau bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin serta dapatkan rawatan segera jika bergejala,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai turut diingatkan supaya duduk di rumah dan mengelakkan dari amalan kunjung-mengunjung selain melakukan aktiviti disinfeksi serta pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Selain itu menurutnya, KKM mengingatkan orang ramai supaya mematuhi S.O.P iaitu S, syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“O, orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

“P, penjarakkan sosial diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya satu meter,” katanya.

Menurut beliau lagi, KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, sebarang perkembangan sentiasa dimaklumkan kepada orang ramai dan KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.