Harga ikan Sungai Pahang naik

Senarai harga ikan yang ditular di Facebook.
Senarai harga ikan yang ditular di Facebook.
A
A
A

KUANTAN – Sebanyak 17 spesies utama ikan di Sungai Pahang mengalami kenaikan harga dari 10 hingga 40 peratus berikutan permintaan tinggi daripada pembeli.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman berkata, kesukaran untuk mendapatkan spesies ikan terbabit ketika ini juga penyebab nelayan darat di negeri menjual ikan air tawar antara RM10 dan RM350 sekilogram (kg).

“Kalau ikutkan harga ikan sungai seperti ikan patin muncung, kelah merah, kelah putih dan patin buah kini berada dalam senarai harga tertinggi iaitu RM125 hingga RM350, dalam kes tertentu harganya boleh meningkat kepada RM450.

“Tetapi, harga ikan Sungai Pahang tidak sama di beberapa daerah seperti Jerantut, Lipis dan Temerloh. Harga di peringkat nelayan darat dan pemborong juga berbeza,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas senarai harga 17 spesies ikan Sungai Pahang yang tular di media sosial dan dikatakan harga berkenaan terlalu tinggi berbanding dijual nelayan darat di negeri ini.

Harga tertinggi yang disenaraikan kelah merah iaitu RM583 diikuti kelah putih dan patin muncung (RM339.20), patin buah (RM127.20), tenggalan dan kerai kuning (RM106).

Azahari berkata, jabatannya tidak mempunyai kuasa untuk mengawal paras harga ikan Sungai Pahang malah akur apabila tidak dapat menentukan harga siling meskipun

terdapat desakan daripada beberapa pihak.

Artikel Berkaitan:

“Kita ambil kira banyak faktor termasuk musim tengkujuh dan kemarau juga mempengaruhi harga semasa ikan. Sebagai contoh, pada musim kemarau air sungai surut dan cetek memberi peluang kepada nelayan darat menangkap lebih banyak ikan,” katanya.

“Namun pegawai pejabat perikanan daerah sentiasa memantau aktiviti nelayan darat termasuk hasil tangkapan mereka dari semasa ke semasa termasuk menyemak harga jualan semua spesies ikan.

“Saya difahamkan permintaan terhadap ikan Sungai Pahang terus meningkat untuk pasaran tempatan dan luar Pahang, keenakan rasa ikan berkenaan membuatkan semua lapisan masyarakat menggemarinya,” katanya.