'Sekarang masa sesuai beli Musang King'

Nik Mazlan menunjukkan durian Musang King yang dijual pada harga RM15 digerai miliknya di Batu 3, Jalan Kuantan- Gambang pada Isnin.
Nik Mazlan menunjukkan durian Musang King yang dijual pada harga RM15 digerai miliknya di Batu 3, Jalan Kuantan- Gambang pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Minggu ini adalah waktu terbaik untuk mendapatkan durian Musang King, selepas harga jatuh mendadak di pasaran, sekali gus meringankan beban pengguna.

Peniaga durian, Nik Mazlan Nik Mat, 40, berkata, lambakan hasil menyebabkan harga raja buah itu turun sehingga RM15 sekilogram bagi gred tertentu.

Menurutnya, durian yang dijual diperoleh terus dari Raub di sini dengan jumlah jualan mencecah empat tan sehari pada ketika ini.

“Sekarang memang terlalu banyak hasil, dan ini masa paling tepat untuk orang ramai beli Musang King kerana harga murah.

"Kalau lambat, harga boleh melambung semula selepas ini,” katanya ketika ditemui di gerai jualannya di Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang di sini pada Isnin.

Nik Mazlan memaklumkan minggu ini tempoh paling sesuai untuk orang ramai mendapatkan durian Musang King susulan penurunan harga mendadak di pasaran.
Nik Mazlan memaklumkan minggu ini tempoh paling sesuai untuk orang ramai mendapatkan durian Musang King susulan penurunan harga mendadak di pasaran.

Nik Mazlan yang berkecimpung dalam perniagaan itu lebih 20 tahun lalu menjelaskan bahawa harga durian Musang King gred A kini sekitar RM25 sekilogram, manakala gred B RM20.

Ujarnya, penurunan harga itu juga dipengaruhi oleh persaingan dengan varieti lain seperti Duri Hitam, selain kos sara hidup yang menyebabkan pengguna lebih berhati-hati berbelanja.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang orang bandingkan harga, jadi ada yang rasa lebih baik beli Musang King waktu ini,” katanya sambil memaklumkan turut menyediakan pelbagai sajian berasaskan durian seperti cendol durian, ABC dan sebagainya.

Sementara itu, Mohd Azmi Osman, 40, berkata, kejatuhan harga durian ketika ini dipengaruhi oleh musim gugur yang berlaku serentak di Raub, Pahang dan Segamat, Johor sejak pertengahan bulan ini.

Menurutnya, jumlah hasil yang tinggi dijangka berterusan sehingga bulan depan menyebabkan penawaran melebihi permintaan dan menekan harga pasaran.

Mohd Azmi menjual Musang King dari Segamat dan pelbagai jenis durian di Batu Tiga Jalan Kuantan-Gambang.
Mohd Azmi menjual Musang King dari Segamat dan pelbagai jenis durian di Batu Tiga Jalan Kuantan-Gambang.

“Apabila buah terlalu banyak, harga jadi rendah. Ketika ini durian dijual sehingga RM15 sekilogram mengikut gred dan saiz.

“Keadaan ini memberi peluang kepada orang ramai menikmati durian tanpa perlu memikirkan kos yang tinggi, terutama penggemar raja buah,” jelasnya.

Mohd Azmi berkata, bekalan durian klon dan kampung diperoleh daripada pemborong utama di Segamat, selain membeli terus dari kebun serta memajak pokok bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang musim.

Jelasnya, selain dijual secara timbang, durian kampung turut dipasarkan dalam bentuk bakul dan guni dengan harga antara RM25 hingga RM30, bergantung kepada kuantiti dan kualiti.

Ringkasan AI

  • Minggu ini adalah tempoh paling sesuai untuk membeli durian Musang King kerana harga mendadak turun
  • Harga durian Musang King turun sehingga RM15 sekilogram untuk gred tertentu
  • Penurunan harga disebabkan oleh lambakan hasil terutamanya dari Raub dan berlakunya musim gugur yang serentak di beberapa tempat
  • Harga Musang King gred A adalah RM25 sekilogram, manakala gred B adalah RM20
  • Keadaan ini memungkinkan penggemar durian menikmati buah tanpa memikirkan kos yang tinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!