X

Kindly register in order to view this article
!

Polis 'buru' individu rentas negeri: KPN

Tan Sri Abdul Hamid Bador
A
A

SERDANG - Polis kini mengesan individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan ‘meloloskan diri’ daripada sekatan jalan raya untuk merentas negeri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, secara keseluruhannya sebanyak 95 peratus masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan namun masih terdapat lima peratus yang masih berdegil dengan arahan PKPB yang ditetapkan.

Menurutnya, tindakan kompaun mula dikenakan sehari sebelum sambutan hari raya kepada mana-mana individu yang ingkar arahan terbabit.

“Hari ini, polis sedang mengesan lima peratus mereka yang lolos merentas negeri dengan mengenakan kompaun melalui pemeriksaan dilakukan di lokasi sekatan jalan raya seperti di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Jalan Duta, Plaza Tol Sungai Besi dan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas).

"Sebelum ini, petugas di sekatan jalan raya tidak mengeluarkan kompaun kerana atas budi bicara mereka. Namun, sudah tiba masanya kami lebih berkeras terhadap perkara ini," katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan kompaun ini adalah perlu bagi menjaga keselamatan orang ramai.

Katanya, selain penugasan di sekatan jalan raya terdapat juga pasukan pemantau yang melakukan rondaan di kawasan perumahan bagi memastikan masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan bagi sambutan hari raya.

“Sepanjang pemantauan dan rondaan dilakukan semalam di kawasan perumahan, didapati tiada kereta berkumpul di satu-satu rumah. Malah pergerakan kenderaan dalam daerah juga terkawal.

"Ini menunjukkan ramai masyarakat faham dan mematuhi nasihat pihak berkuasa supaya melakukan kuarantin diri,” katanya.

Mengulas mengenai kegigihan anggota polis menjalankan tugas ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, Abdul Hamid berkata, beliau melihat mereka bersemangat menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Tiada antara mereka menunjukkan rasa kecewa dan tidak puas hati kerana dikehendaki bertugas pada hari raya, apatah lagi mereka terpaksa berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu iaitu panas dan hujan ketika ini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus