Aktiviti judi online di sebalik kedai makan

Azhan (tengah) menunjukkan telefon bimbit yang digunakan untuk aktiviti judi dalam talian.
Azhan (tengah) menunjukkan telefon bimbit yang digunakan untuk aktiviti judi dalam talian.
A
A
A

BATU PAHAT - Taktik baharu sebuah premis perniagaan di Jalan Mohd Akil, di sini, menjalankan aktiviti judi dalam talian dengan membekalkan pelanggan menggunakan telefon pintar tumpas apabila kegiatan berkenaan berjaya dihidu polis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam serbuan jam 10.50 malam, Khamis lalu, seorang lelaki yang mengendalikan judi atas talian serta tiga pemain termasuk dua wanita turut ditahan.

“Kegiatan berkenaan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik premis makanan sebagai sarang perjudian dalam talian, namun atas aduan orang ramai dan hasil risikan, premis tersebut tidak berjaya beroperasi lebih lama lagi.

“Dalam serbuan itu juga, kita rampas 11 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai sebanyak RM1,090,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, di sini, semalam.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa kepada hukuman penjara dan denda jika disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, Azhan berkata, dua lelaki dan seorang wanita warganegara Vietnam ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah rumah urut di Yong Peng di sini, kira-kira jam 10.30 malam, hari sama selepas disyaki menjalankan aktiviti pelacuran.

“Mereka yang ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1963 dan boleh dikenakan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.

“IPD Batu Pahat dan Polis Kontinjen Johor akan memerangi habis-habisan kegiatan perjudian termasuk judi online dan kegiatan pelacuran. Kita meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kegiatan haram ini dengan menghubungi hotline IPD Batu Pahat, 07-4343 999,” katanya.

Artikel Berkaitan: