X

Kindly register in order to view this article
!

Insafi diri beraya dalam PKPB: MB Kedah

Muhammad Sanusi
A
A

ALOR SETAR - Rakyat Kedah diharap melihat hikmah di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk menginsafi diri dengan berhari raya dalam suasana sederhana dan memenuhi syariat beribadah sebagaimana sunnah Rasulullah SAW.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, elakkan mengambil risiko yang boleh menjejaskan nyawa sendiri dan orang lain agar kita dapat kembali berhari raya seperti biasa pada tahun depan.

Menurutnya, patuhilah arahan pihak keselamatan, selain menahan keinginan melakukan perkara kebiasaan yang kita lakukan sebelum ini, demi kesihatan dan keselamatan diri serta orang tersayang.

" Ada hikmah kita berhari raya dalam suasana PKPB. Aidilfitri yang mengikut syariat Islam adalah sebahagian ibadat, lebih-lebih lagi untuk meraikan kegembiraan setelah sebulan berpuasa.

Namun keraian Aidilfitri kadang kala dijejaskan oleh aktiviti yang bercanggah dengan syariat Islam," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, berhari raya dalam suasana PKPB tahun ini sesuatu yang luar biasa, namun jagalah diri supaya Aidilfitri dalam norma baharu ini membawa kenangan manis sepanjang hayat.

"Walaupun tanpa kunjung mengunjung, ucaplah selamat melalui pelbagai aplikasi telekomunikasi, bukan sahaja sesama Islam malah rakan-rakan bukan Islam untuk mengeratkan persahabatan dan perpaduan," katanya.

Menurutnya,mungkin sudah ramai dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu ini, namun untuk membiasakan diri berhari raya tanpa aktiviti kebiasaan sudah pasti canggung.

"Ketiadaan rumah terbuka dan solat sunat Aidilfitri berjemaah di masjid adalah pengalaman baharu, namun jangan dilupakan saudara-mara, jiran dan sahabat yang kurang bernasib baik, terutama yang terputus sumber pendapatan disebabkan pandemik Covid-19.

"Bantulah mereka dengan kemampuan yang ada agar mereka juga dapat meraikan Aidilfitri. Kita bantu mereka, Allah akan bantu kita, insyaAllah!" katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah menjanjikan slogan Kedah Sejahtera: Nikmat Untuk Semua sebagai manifestasi komitmen untuk bekerja keras membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat tanpa ada yang terpinggir.

"Itu iltizam saya dan anggota Exco serta pegawai kerajaan bawah Perikatan Nasional. Sekiranya terdapat perkara yang perlukan perhatian kerajaan negeri, salurkan kepada agensi berkenaan.

"Saya dan keluarga mohon maaf zahir dan batin jika ada perkara menyinggung telah kami lakukan. Kepada rakan-rakan politik, sama-samalah kita bermaaf-maafan," katanya.

Muhammad Sanusi turut mengajak semua pihak untuk bersama membina Kedah secara konstruktif untuk masa depan kita dan generasi akan datang.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus