Anwar yakin konvensyen berlangsung dalam suasana kekeluargaan

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinan perhimpunan sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Peraduan akan berlangsung dalam suasana kekeluargaan.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan, konvensyen melibatkan parti-parti politik itu bertujuan untuk memantapkan barisan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Insya-ALLAH parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan akan berkumpul dalam suasana kekeluargaan yang erat pada Ahad ini (14 Mei) bagi memantapkan barisan kepimpinan dan jalan ke depan demi Malaysia dan rakyatnya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Konvensyen julung kali diadakan itu dijangka menghimpunkan lebih 10,000 perwakilan dan penyokong daripada 19 parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Bertemakan ‘Madani: Mengangkat Agenda Rakyat’, perhimpunan berkenaan turut melibatkan dua persidangan serentak iaitu Konvensyen Nasional Pemuda dan Puteri serta Konvensyen Wanita yang akan berakhir pada jam 12.30 tengah hari.

Acara kemuncak akan berlangsung pada jam 2 petang yang akan dihadiri oleh semua presiden parti gabungan utama dalam kerajaan iaitu PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selain turut mengundang beberapa parti komponen lain.

Anwar yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan dijangka akan memberi amanat seterusnya diakhiri dengan deklarasi konvensyen.