Teliti cadangan perintah berkurung remaja bawah 18 tahun

Haslihelmy
Haslihelmy
A
A
A

KUANTAN - Perintah berkurung bagi remaja di bawah 18 tahun ke bawah pastinya berita yang menggembirakan ibu bapa seusia itu sementelah ia bagi mengelak anak-anak terlibat sebarang gejala negatif.

Cadangan ini biarpun wajar dilakukan, namun perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Anak Kelahiran Negeri Pahang (PAKP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, cadangan itu tidak seharusnya dilaksanakan secara tergesa-gesa, sebaliknya perlu dikaji dengan teliti dengan mengambil contoh beberapa negara yang telah melaksanakannya.

Menurutnya, perintah berkurung kanak-kanak di Iceland mungkin boleh dikaji kerana dilaporkan membawa kepada penurunan masalah sosial dalam kalangan belia.

"Di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak Iceland 2002, kanak-kanak berumur 12 tahun atau ke bawah tidak boleh berada di luar rumah selepas jam 8 malam melainkan ditemani seorang dewasa.

"Kanak-kanak 13 hingga 16 tahun pula tidak boleh berada di luar rumah selepas jam 10 malam melainkan mereka dalam perjalanan pulang daripada program anjuran sekolah, organisasi sukan atau kelab belia.

"Sejak undang-undang itu dilaksanakan, Iceland mendahului senarai remaja paling berkelakuan baik di Eropah," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Haslihelmy berkata, usia seperti mereka bukan sahaja terlalu mentah, bahkan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya serta yang lebih dewasa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini juga dapat menyelesaikan isu merayau dan penglibatan belia dalam aktiviti tidak bermoral serta jenayah.

"Saya cadangkan, jika mahu dilaksanakan, boleh dimulai pada jam 10 malam sehingga 5 pagi bagi memastikan pengawasan lebih baik oleh ibu bapa.

"Bagaimanapun, perkara ini tidak terpakai kepada mereka yang belajar di pusat pengajian tinggi kerana mereka perlu menghadiri kelas serta pelbagai aktiviti lain sehingga larut malam.

"Jadi perintah berkurung ini harus ditumpukan kepada remaja di bawah usia 17 tahun di samping tidak melarang remaja yang keluar rumah bersama ibu bapa mereka," katanya.