X

Kindly register in order to view this article
!

Gadis tanpa tangan bangga dapat perhatian media antarabangsa

Facebook Fox 32 Chicago berkongsi rakaman video Norfarrah Syahirah menjahit PPE menggunakan kaki.
A
A

IPOH - Gadis istimewa yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan, Norfarrah Syahirah Shaari melahirkan rasa bangga apabila videonya menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) menggunakan kaki dikongsi media antarabangsa, Fox 32 Chicago.

Norfarrah Syahirah, 32, berkata, pengiktirafan itu sesuatu yang sangat bermakna apatah lagi dia sendiri tidak pernah terfikir kekurangan itu menyebabkan dia dikenali hingga ke luar negara.

"Apabila saya mulakan projek PPE bersama rakan-rakan dulu, niat saya cuma mahu bantu petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

"Saya gunakan kemahiran menjahit saya untuk tujuan itu dan video aktiviti menjahit tersebut saya kongsi dengan harapan memberi inspirasi kepada orang ramai terutama kurang upaya (OKU)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Video berdurasi 1 minit dan 59 saat itu dimuat naik di laman Facebook Fox 32 Chicago, kelmarin dan sehingga kini telah ditonton 53,000 pelayar.

Dengan tajuk Bravo: Born without arms, a Malaysian women has been using her feet to sew PPE for frontline workers battling the coronavirus pandemic, perkongsian itu mendapat reaksi positif warganet dari seluruh dunia.

Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan (KKTI) itu berkata, dia hanya mengetahui perkara itu sebaik dimaklumkan rakan.

"Rakan beritahu yang video saya disiarkan di satu laman berita antarabangsa. Pada mulanya saya memang tak percaya kerana beranggapan ia video biasa sahaja.

"Maka bila dapat tonton sendiri, saya rasa sangat terkejut dan terharu, tak sangka usaha kecil dapat pengiktirafan sebegitu sekali," katanya.

Kata positif yang ditinggalkan warganet mengenai perkongsian video menjahit Norfarrah Syahirah di laman Facebook Fox 32 Chicago.
Kata positif yang ditinggalkan warganet mengenai perkongsian video menjahit Norfarrah Syahirah di laman Facebook Fox 32 Chicago.

Menganggap pengiktirafan itu sebagai satu semangat dan motivasi diri, Norfarrah Syahirah berazam untuk terus menjadi inspirasi dan teladan yang baik kepada masyarakat.

"Ada juga yang mencadangkan saya buat video memasak, mengemas dan membasuh. Insha-ALLAH ia dalam perancangan dan akan saya usahakan.

"Harapan saya cuma mahu mereka yang senasib seperti saya boleh berdikari dan tidak patah semangat untuk jalani kehidupan sepertimana orang lain," katanya.

Sebelum ini, gadis kelahiran Bagan Datuk ini pernah berkongsi video memandu kereta menggunakan kaki dan tutorial memakai tudung yang turut tular dan mendapat perkongsian ramai.

Pertengahan April lalu, menerusi projek #DariKomunitiUntukKomuniti, Norfarrah Syahirah bersama sembilan sukarelawan yang juga kakitangan KKTI, dibantu 25 tukang jahit di sekitar kolej berkenaan berjaya menghasilkan 252 gaun isolasi yang kemudiannya disumbangkan kepada petugas kesihatan Hospital Teluk Intan (HTI) dan Klinik Kesihatan Teluk Intan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus