Gelombang kedua Covid-19 di Hokkaido, Singapura jadi iktibar

Gambar hiasan -Foto Bernama
Gambar hiasan -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING- Sarawak menjadikan situasi koronavirus (Covid-19) yang terjadi di Hokkaido dan Singapura sebagai iktibar dalam usaha untuk memerangi wabak itu sekiranya berlaku gelombang kedua, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, semalam pihaknya menerima laporan daripada Jawatankuasa Bertindak Pengawalan dan Pencegahan yang diketuai oleh Prof Datuk Andrew Kiyu dari Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang mencadangkan beberapa langkah sebagai persiapan JPBN untuk menghadapi gelombang kedua Covid-19.

Katanya, laporan ini telah memberi contoh keadaan dan senario penularan Covid-19 gelombang kedua seperti di Hokkaido, Jepun dan di Singapura yang pada suatu ketika dipuji kerana keupayaan mereka mengawal wabak itu pada gelombang pertama.

“Di Hokkaido, setelah ekonomi dibuka pada 16 Mac, sebanyak 18 kes sehari dilaporkan. Kes ini meningkat kepada 279 pada 14 April dan kerajaan mereka menguatkuasakan perintah kecemasan kedua, namun kes di Hokkaido terus meningkat sebanyak 984 pada 15 Mei.

“Sementara itu, gelombang kedua juga berlaku di Singapura di mana kes positif telah meningkat dari 266 pada 17 Mac kepada 28,800 pada 19 Mei. Ini menjadikan Singapura antara negara tertinggi yang merekodkan kes Covid-19 di Asia Tenggara,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Justeru, Uggah berkata, JPBN sedang merangka strategi bagi menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua di negeri ini.

“JPBN cuma boleh merangka strategi dan melaksanakannya tetapi yang lebih penting, rakyat Sarawak sendiri harus mempunyai peranan yang besar untuk menentukan gelombang kedua tidak berlaku di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, JPBN telah memutuskan operasi bagi bistro adalah dibenarkan tetapi penyediaan perkhidmatan hiburan seperti karaoke dan ‘live band’ adalah tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, bagi rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mereka tidak perlu untuk memohon permit daripada polis.

“Bagaimanapun mereka perlu untuk memohon kebenaran daripada JPBN secara dalam talian dan mereka akan dikuarantin selama 14 hari,” katanya.-Bernama