Isu zakat dan asnaf

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BAGAIMANA prosedur asnaf dah jadi bukan asnaf? Apa petandanya? Takkan asnaf berpuluh tahun tak maju-maju?

Banyak persoalan yang timbul berkenaan isu zakat dan agihan khususnya persoalan seperti di atas atau ke mana wang zakat disalurkan!

Lebih parah apabila mereka yang bertanya kekurangan maklumat berkenaan mereka yang layak menerima zakat atau istilahnya asnaf.

Ada yang semata-mata ingin memutlakkan slogan ‘berikan kail (kepada asnaf) dan jangan memberinya ikan’.

Lazimnya slogan itu menjadi kegemaran aktivis sosial untuk galakan kepada institusi zakat di Malaysia memperkasakan asnaf seolah-olah ia tidak dilaksanakan.

Padahal, dengan merujuk lapan golongan asnaf seperti yang tertera dalam Surah At-Taubah ayat 60, semuanya telah dicaknai oleh semua institusi zakat, hanya perlu dipertingkatkan dari masa ke masa.

Berdasarkan pengalaman, persekitaran masyarakat dan keadaan yang ada, dalam konteks penulisan ini, lapan golongan asnaf yang disebutkan dalam Surah At-Taubah itu sendiri secara ringkasnya terdiri dalam tiga kategori iaitu:

1. Asnaf pasif

Artikel Berkaitan:

Lazimnya mereka ini rata-rata adalah golongan berumur dan mengalami keuzuran sama ada sakit tua atau kecacatan kekal ekoran kemalangan dan sebagainya. Mereka ini selama-lamanya perlu dibantu dan dalam perkara ini tidak ada istilah ‘berikan kail, bukan ikan’. Mana mungkin asnaf yang berumur serta uzur tua diberikan kail.

2. Asnaf aktif

Mereka ini ialah golongan yang memerlukan bantuan dalam keadaan terdesak seperti memerlukan modal perniagaan atau mencukupkan modal mereka untuk memulakan perniagaan. Kepada mereka memang perlu diberikan bantuan kail dan bukan ikan atau dalam sesetengah keadaan mungkin kedua-duanya, kail dan ikan. Jumlah bantuan yang tepat untuk the right person in the right situation (sesuai dengan individu dan keadaan) akan merangsang penerima bersikap ‘malu mata’ terhadap institusi zakat yang membiayai wang.

3. Asnaf tegar

Golongan ini antara yang perlu diberi bantuan berdasarkan keadaan mereka seperti mualaf yang kehilangan segala-galanya, mereka perlu diberikan bantuan secara lebih berterusan dan sistematik. Asnaf ini perlu diberi perhatian khusus dan mereka berkemungkinan juga tergabung dalam dua asnaf yang disebutkan lebih awal (pasif/aktif).

Isu prosedur asnaf menjadi bukan asnaf adalah apabila ia mengetahui dan mempunyai kesedaran bahawa wang zakat adalah sebenarnya wang daki (baca: kotoran). Apabila yang menerimanya adalah asnaf, harta itu adalah suci bersih. Tetapi jika yang menerimanya bukan asnaf maka ia sudah terperangkap dalam ‘daki-daki’.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu tidak layak untuk Muhammad (SAW) dan tidak juga kepada kaum keluarga Muhammad (SAW), sesungguhnya ia adalah daki-daki harta (manusia).”

Hadis di atas adalah antara yang menunjukkan kemuliaan keluarga nabi yang tidak menerima zakat, tetapi menerima hadiah (hibah) atau pemberian.

Dalam konteks semasa, hadis ini sangat relevan dan menjadi keperluan kepada semua kategori asnaf untuk menyedari bahawa apabila mereka menerima wang zakat, mereka perlu membelanjakannya dengan penuh berhemah.

Jika si kaya diancam dengan timbunan harta yang tidak dizakatkan, para asnaf juga perlu berasa terancam jika penerimaan wang zakat oleh mereka disalahgunakan.

Isu prosedur asnaf menjadi bukan asnaf adalah apabila ia mengetahui dan mempunyai kesedaran bahawa wang zakat adalah sebenarnya wang daki.”

* Ridhwan Abdul Rahman ialah Pegawai Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)