X

Kindly register in order to view this article
!

Dendang Perantau menusuk perasaan

A
A

WALAUPUN telah terbiasa dengannya sejak zaman kanak-kanak – lebih setengah abad lalu – baru kali ini saya betul-betul rasa terharu mendengar lagu Dendang Perantau.

Tidak fasal-fasal sebak semacam apabila irama nyanyian P Ramlee itu mula berkumandang di radio sehari dua yang lalu.

Memang irama dan liriknya tidak berubah walau sedikit pun, ori seperti zaman raya kanak-kanak dulu. Tetapi kesannya amat menusuk kalbu kali ini.

Dulu-dulu lagu wajib menjelang raya ini walaupun mendayu tetapi membawa kegembiraan. Saya dan kawan-kawan melagukannya sementara menunggu moreh selepas tarawih di surau kampung.

Anak-anak muda menyanyikannya sambil berbasikal untuk membeli air batu di pekan. Mereka juga menyiulkannya sambil memasang pelita minyak tanah di sekeliling laman rumah, juga ketika bermain meriam buluh.

Hatta anak dara dan ibu-ibu pun turut menikmati lagu berkenaan sambil membakar kuih di dapur. Walaupun kuih bahulu dan semperit hangus, irama Dendang Perantau tetap membawa keriangan raya.

Malah sehingga raya tahun lalu, lagu wajib itu saya mainkan ketika sekeluarga berkereta merentasi lebuh raya untuk pulang ke kampung di Muar.

Alangkah gembiranya perasaan apabila mendengar lagu tersebut walaupun sedang merangkak dalam kesesakan sepanjang perjalanan.

Meski iramanya mendayu, liriknya menusuk, ia tetap membawa keriangan sebab kita dapat beraidilfitri di kampung. Lagu itu akhirnya membawa kita bertemu bonda dan sanak saudara di kampung.

Tapi kali ini Dendang Perantau tidak akan membawa kita ke kampung halaman, tidak dapat bersalaman dengan orang tersayang.

Almaklumlah negara dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sana-sini ada sekatan untuk bergerak.

Covid-19 menghalang kita merentasi sempadan negeri dan daerah. Jangankan hendak pulang ke kampung halaman, hendak berkunjung ke rumah jiran pun berasa tersekat.

Maka dalam keadaan serba-serbi tersekat itulah lagu Dendang Perantau betul-betul terasa syahdunya menyentuh sanubari.

Secara peribadi walaupun menetap di Kuala Lumpur sejak tamat sekolah menengah – lebih empat dekad lalu – tidak pernah sekali saya tidak pulang ke kampung pada musim perayaan.

Macam mana susah pun saya akan usahakan untuk pulang. Pagi Syawal saya tetap memeluk dan mencium emak sebelum solat raya di masjid.

Malah setelah berkahwin dan berkeluarga di KL, emak akan mengusap-usap rambut saya, mencium pipi saya pada pagi raya.

Peluk cium itu bagaimanapun tiada lagi sejak 15 tahun lalu, apabila emak sudah tiada. Tetapi saya tetap pulang beraya dan memeluk abah, hinggalah dia menurut jejak emak dua tahun lalu.

Meskipun tiada emak dan abah, saya dan keluarga tetap pulang ke kampung setiap kali raya. Kalau tidak pulang ke Muar, kita beraya di Kuala Terengganu.

Pendek kata meski sudah berkeluarga dan mempunyai rumah di KL, tidak pernah sekali kami beraya di perantauan. Tahun ini pertama kali kami beraya di KL!

Tahun ini juga saya tidak bersolat tarawih dan tidak bermoreh di surau. Dan untuk pertama kali saya tidak dapat bertakbir raya di masjid.

Pada usia semakin meningkat – sudah lama menyertai kelab warga emas! – dan sekarang keadaan kesihatan yang sering terganggu, saya selalu berfikir dan bertanya sempatkah lagi untuk bertakbir dan bersolat Aidilfitri di masjid?

Dalam suasana PKP yang mencengkam ini, lagu-lagu raya lain pun terasa luar biasa, bukan normal biasa. Salam Aidilfitri (Datuk Siti Nurhaliza), Balik Kampung (Sudirman), Selamat Hari Raya (Saloma), Aidilfitri (Fazedah Junid) dan berpuluh lagi irama raya menjadi semakin nostalgik dengan kita tidak bebas bergerak.

Paling saya suka ialah Musafir Aidilfitri dendangan S Jibeng yang berkisah mengenai kesayuan ditinggalkan ayah dan ibu.

Apa pun kita mesti akur dengan peraturan dan penguatkuasaan PKP, sambil terus berdoa semoga wabak maut itu segera berakhir.

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Maaf zahir dan batin.

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!