Pakej nasi bungkus, air sirap RM6!

Dua wanita dan seorang lelaki diberi notis hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
Dua wanita dan seorang lelaki diberi notis hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pakej nasi bungkus dan air sirap serendah RM6 menarik minat geng kaki ponteng puasa untuk membeli makanan seawal jam 11 pagi.

Itu gambaran yang berlaku di sebuah restoran di Kota Kuala Muda yang beroperasi sepanjang bulan Ramadan tanpa menghiraukan arahan dikeluarkan kerajaan.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syeikh Mohd Noor Ismadi Ismail berkata, hasil serbuan, pihaknya mendapati terdapat dua wanita sedang menyediakan nasi yang ditempah dan ada juga yang siap dibungkus.

Menurutnya, peniaga menawarkan pakej sebungkus nasi dan air dengan harga RM6 sahaja menyebabkan kedai berkenaan menjadi tumpuan pelanggan pelbagai peringkat umur termasuk seorang lelaki dipercayai sedang membeli makanan ketika serbuan dijalankan.

"Apabila disoal siasat, lelaki berusia 21 tahun itu memberi alasan sedang membeli makanan yang ditempah oleh rakannya," katanya.

Menurutnya, dua peniaga dan seorang pelanggan terbabit telah diberi notis supaya hadir ke Pejabat Agama Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, katanya, pemantauan diteruskan ke Tikam Batu dan Bakar Arang hasil aduan orang awam terhadap sebuah kedai yang didapati menjual makanan sebelum jam 3 petang manakala satu lokasi menjual nasi dari rumah.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kita telah menasihati peniaga agar menghormati bulan Ramadan selain mematuhi arahan perniagaan yang ditetapkan," katanya.

Katanya, operasi diketuai Zaiferi Zainul Abidin bersama enam anggota penguatkuasa melakukan pemantauan sekitar daerah bermula jam 10 pagi hingga 1 petang.

"Nasihat dan amaran telah dikeluarkan dan kita tak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas sekiranya didapati melanggar peraturan ditetapkan," katanya.