113 lawan 107 di Parlimen

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. -Foto Bernama
Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. -Foto Bernama
A
A
A

PADA 18 Mei lalu, berlangsunglah Persidangan Dewan Rakyat. Nampaknya macam ancaman koronavirus (Covid-19) juga, Parlimen Malaysia terpaksa berdepan dengan kebiasaan baharu.

Kali ini kenyataan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ada kelebihan kerusi yang sangat tipis di Parlimen.

Hal semacam itu tak pernah berlaku di negara kita. Maklum, kita terlalu biasa dengan majoriti dua pertiga pada zaman Barisan Nasional (BN) dulu.

Jikalau ikut kiraan tempat duduk pada Isnin lalu, PN hanya ada dua kelebihan kerusi.

Macam-macam boleh berlaku kepada 113 penyokong kerajaan dan 107 orang penyokong pembangkang serta dua ahli Parlimen Bebas.

Mungkin ada yang akan lompat katak. Maklum, dunia politik ada budaya lompat-melompat.

Akibat dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) PKR lompat katak, jatuhlah kerajaan PH pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Kedah.

Awang faham mengapa Persidangan Parlimen kali ini tak ada acara lain selain majlis perasmian.

Artikel Berkaitan:

Itu yang pihak pembangkang tak puas hati. Mereka rasakan alasan wabak Covid-19 semata-mata diadakan untuk mengelak daripada sebarang perbahasan.

Tentulah ada bahaya undi tak percaya yang telah disetujui oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk dibincangkan jika Parlimen bersidang lebih lama.

Bersatu akan disembelih?

Awang terbaca tulisan Dr Maszlee Malik dalam akhbar ini kelmarin. Tajuknya pun menggemparkan, ‘Bersatu Berhadapan Risiko Disembelih’. Terlebih dahulu Awang nak ucapkan syabas pada Dr Maszlee yang menolak pelantikan beliau ke sebuah agensi kerajaan baru-baru ini.

Memang banyak orang ramalkan beliau akan terima jawatan itu. Nampaknya betullah Dr Maszlee ada prinsip perjuangan. Ahli Parlimen Parti Bersatu kini tinggal empat orang yang tak ikut TS Perdana Menteri. Pelik juga parti yang memimpin kerajaan, ahli Parlimennya ada yang duduk sebelah kerajaan dan ada di sebelah pembangkang.

Dr Maszlee ramalkan Bersatu akan disembelih oleh UMNO yang nampaknya semakin dominan peranannya dalam kerajaan hari ini.

Tulis beliau, Bersatu bagaikan ‘memberikan tengkuk mereka untuk disembelih mentah-mentah oleh UMNO’.

Awang bukan setuju sangat dengan banyak pandangan Dr Maszlee. Tapi dalam hal itu, Awang rasa beliau betul.

Beliau buat analisis yang baik tentang sokongan pengundi pada Bersatu dalam PRU14. Daripada 52 kerusi Parlimen yang ditandingi Bersatu, parti itu menang 13 kerusi. Kebanyakannya merupakan kerusi kubu kuat UMNO. Ini bererti rakyat memilih Bersatu sebagai ganti UMNO.Menurut Dr Maszlee, UMNO semakin kuat. Kekuatan itu ditambah dengan pelantikan menteri dan Ahli Parlimen UMNO ke kementerian strategik serta pelbagai syarikat GLC dan agensi kerajaan.

Patut sangatlah Tan Sri PM dan penasihatnya dalam Bersatu fikirkan pandangan Dr Maszlee itu.