RM101.1 juta kutipan jualan 3,542 peniaga dalam talian: Amirudin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif dan usahasama kerajaan Selangor membawa 3,542 peniaga mikro dan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Selangor berniaga secara dalam talian membuahkan hasil apabila sebanyak RM101.1 juta hasil jualan berjaya diperoleh.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, angka jualan sangat memberangsangkan itu hanya dikutip dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, kempen E-Bazar Raya bersama platform e-dagang, Shopee Malaysia yang mengumpulkan peniaga Hijrah Selangor, PKNS Prec, Selangor Information Technology & E-Commerce Council (Sitec) dan Agro Selangor itu berjaya mengatasi sasaran asal sebanyak RM 8 juta.

“Kerjasama pintar yang mencatat angka mengagumkan dengan peningkatan jualan melebihi 1,250 peratus ini hanya dikutip dalam jangka masa dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau berkata, sebanyak RM 1.52 juta diperoleh menerusi jualan terkumpul E-Bazar Ramadan hasil kerjasama pintar antara syarikat e-hailing, Grab bersama Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) dan Platform Selangor (Plats) sepanjang bulan Ramadan ini.

Menurutnya, ia memberi manfaat kepada lebih 133 peniaga makanan E-Kitchen di seluruh Selangor.

“Dengan prestasi sebaik ini, kerajaan negeri akan terus melabur dan mengupayakan ekosistem PKS kerana mereka merupakan tulang belakang sebenar industri yang mencipta nilai dan kekayaan (value and wealth creator) buat semua.

“Selangor sebagai trendsetter percaya kepada keupayaan e-dagang sebagai antidot kepada kelembapan yang dibawa oleh wabak Covid-19 dan yakin strategi digitalisasi ini akan menjadi penjana ekonomi dan ‘game changer’ untuk masa akan datang,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan Selangor memperkenalkan dua platform e-dagang khas iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) sempena Ramadan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, untuk tujuan itu, kerajaan negeri telah mengenal pasti 77 pusat pengumpulan terdiri daripada 10 dewan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 67 restoran yang menyediakan juadah Ramadan di seluruh Selangor.