Gesa siasat Mukhriz keluarkan kenyataan hasutan

Ahmad (depan) membuat laporan polis memohon siasatan dibuat ke atas Mukhriz kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap beberapa pemimpin.
Ahmad (depan) membuat laporan polis memohon siasatan dibuat ke atas Mukhriz kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap beberapa pemimpin.
A
A
A
ALOR SETAR - Polis digesa melakukan siasatan terhadap bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan ke atas beberapa pemimpin pada sidang akhbar ketika mengumumkan peletakan jawatan itu semalam.

Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah, Datuk Ahmad Sudin berkata, pihaknya membuat laporan polis apabila mendapati Mukhriz mengeluarkan kenyataan hasutan dengan menyebut beberapa nama dalam video sidang media dimuat naik saluran 'mediarakyat' di YouTube.

Beliau berkata, tindakan Mukhriz mengaitkan pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional dengan perintah mahkamah untuk lepas tanpa bebas anak tiri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz dalam kes pengubahan haram, sebagai satu hasutan.

"Kaitan dan kenyataan itu adalah palsu, fitnah jenayah dan tidak benar jika dibandingkan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang mengesahkan Peguam Negara terdahulu, (Tan Sri) Tommy Thomas yang bersetuju secara prinsip untuk menyelesaikan kes Riza.

"Saya juga membuat laporan kepada pihak berkuasa bahawa kesemua kenyataan di atas ini dikeluarkan Mukhriz dengan niat jahat untuk mengaitkan Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi bebas politik dengan pentadbiran kerajaan semasa," katanya ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini hari ini.

Katanya, kenyataan berkenaan turut dilihat cuba mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Perikatan Nasional.

"Kenyataan hasutan itu dikeluarkan Mukhriz walaupun kerajaan Perikatan Nasional ataupun UMNO tidak mencelah dan campur tangan dalam keputusan untuk lepas bebas Riza Aziz," katanya.

Katanya, pihaknya juga memandang serius kenyataan Mukhriz yang mengaitkan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai protagonis yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Mukhriz.

"Sedangkan, rata-rata rakyat faham akan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah disebabkan kelemahan pentadbirannya dalam memacu Kedah ke hadapan serta ADUN telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau," katanya.
Artikel Berkaitan:


Pihaknya turut berharap kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 (Disemak 1969) dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan institusi kerajaan dan kehakiman (pentadbiran keadilan) bagi mengelak tercetusnya ketidakstabilan dan keharmonian masyarakat di negara ini.