X

Kindly register in order to view this article
!

Kerang bakar padu laris ketika PKP

Kerang bakar padu dijual pada harga RM8 untuk setiap 400 gram.
A
A

DUA sahabat dari Jitra, Kedah bukan sahaja berkongsi hobi yang sama dalam dunia memancing malah bersepakat menjalankan perniagaan kerang bakar setiap kali menjelang Ramadan.

Muhamad Zarul Afifi Zakaria,28, berkata, walaupun mempunyai komitmen dalam perniagaan masing-masing namun dia dan Ku Muhamad Fakri Ku Azizan, 32, sempat meluangkan masa pada bulan puasa untuk menjual hidangan istimewa yang dinamakan sebagai kerang bakar padu itu.

Katanya, dari 2010 sehingga sekarang mereka tidak pernah terlepas peluang berniaga kerang bakar berkenaan di bazar Ramadan sekitar Jitra.

“Bermula dari 2013 kami mula kembangkan perniagaan kami kepada tiga cawangan iaitu di Bazar Ramadan Taman Suria, Taman Mahsuri dan Kepala Batas,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pada tahun ini mereka hanya beroperasi di tempat bernama Grilled Station, berhadapan Masjid Tanjung Pauh di Jitra susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, katanya, rezeki dalam perintah separa berkurung itu lebih lumayan berbanding tahun sebelumnya.

“Jika sebelum ini kami menyediakan 50 kilogram (kg) kerang bakar sehari tapi sekarang ini ia bertambah sehingga mencecah 80kg sehari.

“Kami juga menerima tempahan daripada beberapa restoran di sekitar Jitra untuk membekalkan kerang bakar ini,” katanya yang turut menyediakan perkhidmatan penghantaran hidangan berkenaan di sekitar Alor Setar dan Jitra.

Kerang tidak direbus bagi mengekalkan kesegaran.
Kerang tidak direbus bagi mengekalkan kesegaran.

Resipi

Sementara itu, Ku Muhamad Fakri berkata, resipi kerang bakar padu berkenaan diperoleh daripada seorang tukang masak dari Indonesia.

“Kami bertiga pernah bekerja sebagai tukang masak di satu tempat sama sebelum ini. Jadi, rakan kami itu bermurah hati kongsikan resipinya ini.

“Alhamdulillah, setakat ini kami menerima maklum balas positif daripada pelanggan dan kami sangat menghargainya,” katanya.

Tambahnya, keistimewaan kerang bakar padu terletak pada rasa sambalnya yang enak dan pekat.

“Kami juga mementingkan kesegaran kerang itu sendiri sebab itu ia tidak direbus terlebih dahulu, sebaliknya terus dibakar,” katanya.

Menurut Ku Muhamad Fakri, kerang bakar padu sesuai dimakan begitu sahaja atau dimakan bersama dengan nasi putih.

“Insya-ALLAH kerang ini jika disimpan dengan betul, ia boleh bertahan sehingga waktu sahur,” katanya.

Dua sahabat berkenaan menjual kerang bakar itu pada harga RM8 bagi setiap 400gram.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!