Alahan tak boleh makan biskut setiap kali perayaan

Ilham (kanan) bersama ahli keluarga menyambut Aidilfitri.
Ilham (kanan) bersama ahli keluarga menyambut Aidilfitri.
A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun sejak bayi lagi dia mengalami alahan terhadap bahan makanan seperti mentega, susu lembu dan telur, ia tidak menghalang seorang menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti orang lain.

Pemain piano, Ilham Saharuddin, 19, berkata, atas didikan ibu bapanya, masalah kesihatan itu mampu diatasi dengan baik.

“Ibu dan ayah sangat tegas mengajar tak boleh makan sembarangan termasuk telur, susu dan mentega kerana jika makan juga akan memberi kesan kepada kesihatan.

“Masa kanak-kanak dulu setiap kali Aidilfitri kalau tengok biskut raya memang teringin nak rasa tapi sudah diajar untuk tidak makan bahan berkenaan,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tambah Ilham, ahli keluarga juga tidak dapat membawa dia bersama mereka ke majlis perkahwinan atau parti hari lahir kerana bimbang dengan penggunaan bahan tersebut dalam makanan.

Ujarnya, dengan perubahan teknologi makanan kini dia boleh menikmati biskut raya daripada bahan berasaskan tumbuhan sebagai pengganti tenusu dan telur.

“Ibu banyak mencuba resipi biskut raya atau kek tanpa bahan yang saya tidak boleh makan. Macam sekarang setiap kali Hari Raya Aidilfitri saya dan adik akan buat biskut sendiri yang terdiri daripada bahan-bahan berasaskan tumbuhan.

“Saya bersyukur kerana dapat menikmati hidup yang lebih sihat sama seperti orang lain,” katanya.