Bayaran zakat fitrah di Johor kini boleh dibuat manual

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KULAI - Urusan pembayaran zakat fitrah kini boleh dibuat secara manual di semua pejabat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) seluruh negeri tanpa perlu melakukan temu janji terlebih dahulu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi bagaimanapun berkata, kutipan zakat fitrah oleh amil secara persendirian tidak dibenarkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu baru-baru ini.

"Bermula Khamis lalu, kesemua pejabat MAINJ di seluruh Johor akan dibuka bagi pembayaran zakat fitrah mengikut waktu pejabat, tanpa perlu melakukan sebarang temu janji dan pegawai MAINJ akan digerakkan ke kawasan kampung untuk membuat kaunter pembayaran terbuka.

Ketua Kampung boleh memanggil pegawai MAINJ untuk membuka kaunter dengan menetapkan masa bersesuaian," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, di sini hari ini.

Akhir bulan lalu, Tosrin dilaporkan berkata, MAINJ memutuskan melaksanakan pembayaran zakat fitrah seluruh Johor dibuat secara atas talian ekoran Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dua kadar zakat fitrah ditetapkan di negeri ini iaitu RM7 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Tempatan manakala RM10 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras selain Super Tempatan iaitu beras import seperti beras wangi, beras basmathi dan lain-lain.

Setelah mengambil kira nasihat dan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor demi menjaga maslahah dan keselamatan amil fitrah daripada risiko penularan Covid-19, amil fitrah tidak ditugaskan membuat pungutan zakat fitrah.

Artikel Berkaitan: