Penjualan telur penyu dilarang, boleh kena tindakan!

gambar hiasan. Foto: 123RF
gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menerima aduan daripada orang awam melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter mengenai penjualan telur penyu dari Terengganu.

Penjualan tersebut diiklankan di platform Shopee Malaysia pada 12 Mei namun hasil tinjauan DOF mendapati iklan tersebut telah digugurkan pada 13 Mei lalu.

Menurut satu kenyataan, semua negeri melarang penjualan semua spesies penyu termasuk telur penyu kecuali Terengganu yang hanya melarang penjualan Penyu Belimbing sahaja.

"Penguatkuasaan ini mengguna pakai Enakmen atau Kaedah-Kaedah Perikanan Penyu dan Telur Penyu Negeri.

"Penyeragaman perundangan seharusnya memastikan penyu dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317), Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686), Enakmen Penyu Negeri dan Kaedah-Kaedah Perikanan berhubung penyu dan telur penyu Negeri.

"Kesalahan yang melanggar akta ini boleh diambil tindakan penguatkuasaan," katanya.

Justeru, semua pihak yang menguruskan lawan sesawang penjualan produk dalam talian dan yang terlibat menggunakan mana-mana kaedah penjualan untuk bersama membantu DOF menghalang sebarang bentuk jualan haiwan marin terancam termasuk telur.

"Semoga usaha yang diwujudkan ini dapat membantu DOF dan Malaysia bagi memastikan kemampanan sumber haiwan marin terancam di Malaysia," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam usaha menangani isu tersebut, DOF telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan spesies haiwan marin terus dilindungi dan dipulihara.

"Antara usaha lain ialah menjalankan program pendidikan dan mempertingkatkan program kesedaran awam di semua peringkat termasuk kerjasama strategik dengan pihak tertentu dan termasuk program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)," katanya.

Menurut kenyataan itu, DOF bertanggungjawab mengurus dan memulihara spesies penyu di Malaysia dan peranan itu dimantapkan dengan kerjasama daripada jabatan dan agensi kerajaan yang lain, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan dan institut pengajian tinggi awam bagi memastikan kelestarian haiwan marin itu.

"DOF juga menjalankan aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi kepatuhan kepada syarat-syarat lesen terutama saiz mata pukat dan pemasangan alat Turtle Excluder Devise (TED) pada bot.

"Sesi penerangan dan dialog diberikan kepada pengusaha bot terutama bagi tujuan pendidikan dan kesedaran dalam kalangan mereka yang lebih kerap berdepan dengan haiwan ini," jelasnya.

Untuk makluman, penyu merupakan antara hidupan marin yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 pindaan 2019 serta Enakmen/Kaedah Perikanan Negeri.

Di Malaysia terdapat empat spesies penyu iaitu Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea), Penyu Agar (Chelonia mydas), Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Lipas (Lepidochelys olivacea) dan kesemua jenis itu dikategorikan sebagai terancam dan dilindungi sepenuhnya.

Di peringkat global, semua spesies penyu tersenarai dalam Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) dan tersenarai dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN).

Penyu kini dianggap hidupan yang sangat penting dan kritikal untuk dilindungi kerana spesies itu merupakan komponen penting dalam mengimbangi kestabilan ekosistem marin malah merupakan ikon untuk pelancongan yang mampu menarik minat umum kepada konservasi alam sekitar.

Sehubungan itu, DOF memandang serius terhadap sebarang aktiviti penjualan tersebut bagi memastikan kemampanan sumber haiwan marin terancam di Malaysia.