X

Kindly register in order to view this article
!

Rumah Ketua Polis Balai terbakar dua kali

Pasukan bomba tiba memadamkan kebakaran rumah milik Ketua Polis Balai Kampung Rapat. Foto: ihsan bomba
A
A

IPOH - Rumah Ketua Polis Balai Kampung Rapat, Inspektor Zulhamali Zakaria yang baru didudukinya dua bulan lalu terbakar dua kali dalam tempoh beberapa jam mengakibatkan kerosakan di bilik utama.

Zulhamali berkata, kebakaran itu juga menyebabkan bahagian atas rumahnya di Taman Sri Rapat di sini, musnah.

Katanya, kejadian pertama berlaku selepas berbuka puasa ketika isterinya naik ke tingkat atas untuk menghidupkan pendingin hawa dan solat Maghrib.

"Isteri saya turun semula ke tingkat bawah dan tiba-tiba rumah kami bergelap. Anak sulung berusia 16 tahun ternampak api.

"Kami sempat menghubungi bomba tetapi api marak memusnahkan bilik utama," katanya.

Bomba memadam kebakaran di tingkat atas rumah yang memusnahkan tiga bilik dan struktur bumbung. Foto: ihsan bomba.
Bomba memadam kebakaran di tingkat atas rumah yang memusnahkan tiga bilik dan struktur bumbung. Foto: ihsan bomba.

Menurutnya, kejadian kedua pula berlaku pada waktu sahur dan beliau sempat menyelamatkan dua anaknya yang tidur di bilik masing-masing.

“Kejadian kedua ini disedari oleh jiran dan terus memberitahu kami. Saya terus naik ke atas dan memanggil anak-anak sebelum pasukan bomba tiba memadam kebakaran.

“Kebakaran kedua memusnahkan keseluruhan tingkat atas. Bilik anak-anak dan kelengkapan dianggarkan bernilai hampir RM100,000 musnah. Mereka kini masih trauma,” katanya.

Katanya, beliau menyerahkan kepada bomba untuk siasatan dan merancang mencari rumah sewa baharu.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan tiga pasukan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.12 pagi.

“Kebakaran itu melibatkan bahagian atas rumah dua tingkat dan memusnahkan 70 peratus struktur rumah.

“Anggota melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Ipoh dan Pasukan Bomba Sukarela Pekan Baru melakukan pemadaman hingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya yang tamat operasi pada jam 7.20 pagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!