Solat Jumaat pertama dalam tempoh PKPB

Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni mengimamkan solat Jumaat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni mengimamkan solat Jumaat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kebenaran mengerjakan solat Jumaat hari ini memberi kelegaan ke umat Islam di seluruh negara selepas dua bulan masjid tidak dapat dikunjungi jemaah.

Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Husni bersyukur kerana umat Islam kembali mengerjakan solat Jumaat secara berjemaah bermula hari ini selepas kira-kira dua bulan dan lapan kali Jumaat masyarakat Islam tidak dapat melaksanakan solat Jumaat secara berjemaah.

“Kita bersyukur kerana kini diberi kelonggaran untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah yang lain.

"Bagaimanapun kebenaran tersebut bersyarat iaitu di masjid atau surau yang diberikan kebenaran atau berada dalam zon hijau dalam tempoh pelaksannan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya ketika ditemui selepas selesai solat Jumaat di Masjid Negara hari ini.

Dalam pada itu, Ehsan berkata, bilangan jemaah yang diputuskan oleh jawatankuasa Perundingan Syarak Wilayah Persekutuan ialah antara tiga hingga ke 30 orang sahaja.

“Alhamdulillah dengan kerjasama daripada beberapa agensi seperti polis, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Jawi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang merangka prosedur operasi standard (SOP) tersebut yang dipersetujui.

“Buat masa ini solat jemaah dilakukan dalam kalangan kakitangan sahaja selain jemaah terpilih daripada jabatan atau agensi yang berjiran dengan Masjid Negara," katanya.

Menurutnya, kelonggaran akan diberikan kepada orang ramai secara berperingkat kerana bagi mengelakkan kesukaran mengawal jemaah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai solat sunat tarawih, Ehsan berkata perkara itu masih belum diputuskan namun pihaknya akan mengadakan mesyuarat di peringkat tertinggi hari ini berhubung perkara itu.

Sementara itu, seorang jemaah Muhammad Noriman Kamaruddin, 27, bersukur dengan keputusan yang diberikan kerajaan walaupun hanya dapat dilaksanakan dalam jumlah jemaah yang sedikit.

“Walaupun agak sukar dengan SOP yang ditetapkan tetapi kita perlu menerimanya dengan berlapang dada demi keselamatan dan kesejahteraan kita bersama.

“Kita berharap pada masa akan datang lebih ramai lagi jemaah yang boleh bersama-sama mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negara,” katanya.