Menguji normal baharu dunia sukan

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

PEJAM celik, pejam celik tanpa kita sedari rupanya sudah hampir tiga bulan lamanya kita tidak lagi disajikan dengan aksi-aksi sukan dari seluruh dunia termasuklah aksi sukan tempatan di negara kita sendiri.

Soalan yang sering ditanya seperti siapa menang bola semalam? EPL macam mana? Liverpool menang, kan? Siapa score untuk Barcelona? Siapa juara grand prix motosikal? Soalan-soalan mengenai dunia sukan pastinya menjadi topik bualan utama majoriti rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, hari ini soalan-soalan sedemikian boleh dikatakan sudah agak jarang diperkatakan bukan sahaja dalam kalangan rakyat di negara ini, malah mungkin turut melibatkan rakyat di luar negara.

Semuanya akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini hingga menyebabkan seluruh norma kehidupan rakyat terjejas.

Justeru, tidak hairanlah jika hari ini soalan-soalan berkenaan digantikan pula dengan soalan-soalan seperti: ada kes (Covid-19) baharu ke hari ini? Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sambung atau tidak? dan pelbagai lagi soalan yang berkaitan Covid-19.

Dunia sukan hari ini turut ‘dicemari’ dengan penularan pandemik berkenaan hingga menyaksikan banyak acara sukan di seluruh dunia terpaksa ditangguhkan.

Paling mengejutkan adalah pembatalan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos 2020.

Selain itu bagi saingan Piala Thomas dan Piala Uber 2020 yang dijadual berlangsung di Arena Ceres di Aarhus, Denmark dari 16 hingga 24 Mei ini turut ditunda dan dijangka berlangsung mulai 15 hingga 23 Ogos depan.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan aksi pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 bagi peringkat kumpulan yang turut ditangguhkan hingga ke satu tarikh yang bersesuaian kelak.

Selain itu, saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga, Serie A, Bundesliga dan malah saingan Liga Malaysia (Liga-M) sendiri, turut ditangguhkan sejak tiga bulan lalu sebelum dikhabarkan akan kembali berlangsung dalam masa terdekat atau hingga ke satu tarikh yang telah ditetapkan.

Bangkit

Apa yang pasti, kesemua acara sukan itu berlangsung dalam suasana berbeza berbanding sebelum ini terutamanya dari segi prosedur operasi standard (SOP).

Antara SOP yang ditetapkan adalah seperti mengadakan aksi perlawanan di stadium tertutup atau lebih difahami dengan perlawanan tanpa kehadiran penonton.

Mungkin acara-acara sukan itu boleh disaksikan secara langsung di televisyen atau menerusi live streaming, namun sudah pasti kemeriahannya tidak sama apabila berada di stadium.

Bagi acara bola sepak, contohnya, situasi berkenaan dilihat bakal mengancam kedudukan kewangan pasukan terutamanya dari segi kutipan tiket yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada sumber kewangan pasukan.

Selain itu ada juga pihak yang mengatakan aksi perlawanan yang dilangsungkan tanpa kehadiran penonton bakal memberikan impak tersendiri terhadap penajaan kewangan sesebuah pasukan.

Namun, antara sedar atau tidak, penajaan menerusi siaran langsung sebenarnya mampu menjana kewangan yang lebih kukuh berbanding penajaan di stadium.

Baru-baru ini, pentadbir EPL membentangkan empat protokol baharu sebelum saingan EPL disambung semula seperti tiada keraian pasukan (gol atau menang), tidak dibenarkan meludah, berkongsi botol air mahupun bertukar jersi.

Selain itu, kesemua pemain juga perlu memakai topeng muka ketika beraksi, manakala pegawai perubatan pula dikehendaki berpakaian lengkap Peralatan Perlindungan Diri (PPE) khususnya ketika merawat pemain di padang.

Sekiranya, pembentangan berkenaan diterima, ia mungkin akan diikuti pula dalam acara-acara sukan lain.

Secara keseluruhannya, pandemik Covid-19 yang tidak diketahui bila akan berakhir ini sebenarnya bukan sahaja membawa normal baharu dalam kehidupan seharian, malah turut membawa pembaharuan dan seterusnya mengubah landskap sukan itu sendiri.

* Shahrizal Ahmad Zaini ialah Wartawan Meja Sukan Sinar Harian