Sinar kehidupan baharu buat gelandangan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

DUA pentadbiran kerajaan Persekutuan telah berganti namun isu gelandangan di ibu kota tetap tidak berubah. Golongan berkenaan masih lagi berkeliaran ke sana sini mencari sesuap nasi.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah tatkala koronavirus (Covid-19) menerjah masuk ke dalam negara. Buat julung kalinya, kerajaan mengambil tindakan drastik menyantuni gelandangan dengan sebaik mungkin.

Kerajaan Perikatan Nasional nampaknya bukan sahaja menjamin tempat tinggal dan makanan yang cukup, malah turut mendapatkan kerja bagi mengembalikan kembali kuasa beli golongan berkenaan.

Dianggarkan seramai 800 gelandangan di ibu kota telah diselamatkan dan diberi tempat tinggal dalam tempoh Perintah Kawalan Perintah (PKP).

Seramai 500 daripada mereka telah ditemuduga untuk diberikan pekerjaan manakala selebihnya dihantar ke pusat perlindungan susulan masalah kesihatan dan taraf kerakyatan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak sembilan buah syarikat bersetuju mengambil 300 daripada gelandangan berkenaan.

Katanya, semua syarikat tersebut akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, mematuhi Perintah Gaji Minimum 2020 serta peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955.

Beliau berkata, kira-kira 200 orang pula akan dibawa untuk berkursus selama sebulan untuk meningkatkan potensi mereka dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum diambil bekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel Berkaitan:

Usaha kerajaan Pusat itu bukan sahaja perlu diberi pujian, malah ia patut dicontohi oleh kerajaan negeri yang turut berdepan dengan masalah gelandangan di bandar utama mereka.

Justeru, sudah sampai masanya golongan itu disantuni dengan memberi pekerjaan kepada mereka agar boleh berdiri sendiri, sekali gus merencana kehidupan dan ekonomi yang lebih baik.

Mereka bukan tiada kudrat cuma tidak diberi peluang dan saluran yang betul untuk keluar daripada dunia gelandangan. Semoga apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini memberi sinar kehidupan baharu kepada gelandangan di ibu kota.