MDHS sita dua kilang operasi tanpa lesen

Anggota penguat kuasa MDHS melakukan siasatan awal di tapak premis berkenaan.
Anggota penguat kuasa MDHS melakukan siasatan awal di tapak premis berkenaan.
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyita dua kilang yang didapati beroperasi tanpa lesen menerusi operasi yang dijalankan di sekitar Kawasan Perindustrian Zuhrah, Rasa semalam.

Menerusi satu kenyataan, MDHS berkata, kilang pertama yang disita dalam operasi itu dipercayai menjalankan aktiviti kitar semula plastik berdasarkan kepada bahan dan juga peralatan melebur digunakan di tapak premis itu.

"Pemilik premis menunjukkan lesen dimilikinya kepada penguat kuasa MDHS namun hasil semakan mendapati aktiviti yang dijalankan tidak sama dengan aktiviti perniagaan dilesenkan oleh MDHS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, MDHS berkata, pihaknya telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis penutupan premis di bawah Undang-Undang Kecil 43(1)(a) dan (b),Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MDHS) 2007.

"Premis ini turut diarah tutup selama 14 hari di atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan selain daripada aktiviti dibenarkan MDHS.

"Lesen perniagaan pemilik premis juga akan digantung dan pintu utama kilang turut dikunci bagi menghalang sebarang aktiviti perniagaan diteruskan," katanya.

Penguat kuasa MDHS menyita barangan di premis kilang terbabit.
Penguat kuasa MDHS menyita barangan di premis kilang terbabit.

Dalam operasi sama, MDHS berkata, pihaknya turut menyita sebuah kilang memproses aluminium yang beroperasi tanpa lesen di sekitar kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setibanya penguat kuasa di tapak premis berkenaan, penjaga dan pekerja kilang dipercayai telah melarikan diri berdasarkan kepada kesan pergerakan tayar forklift dan juga tempat melebur yang masih panas.

"Anggota operasi telah menemui beberapa palet jongkong aluminium yang setiap satunya dianggarkan mempunyai berat lebih kurang satu tan," katanya.

Tambah MDHS, pendakwaan akan diambil jika pemilik tanah dan pengusaha didapati masih ingkar memberhentikan aktiviti perniagaan selagi tidak mendapat kelulusan.