Lima lelaki pecah rumah dicekup

Gambar penduduk melihat polis menahan suspek di lokasi kejadian tular di laman sosial.
Gambar penduduk melihat polis menahan suspek di lokasi kejadian tular di laman sosial.
A
A
A

PANDAN INDAH – Seramai lima lelaki dicekup selepas dipercayai memecah masuk sebuah rumah dua tingkat di Jalan Bunga Melati, Taman Seraya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kesemua suspek berusia 21 hingga 41 tahun itu ditahan susulan maklumat penduduk yang mengesan aktiviti jenayah di rumah berkenaan pada jam 3.30 pagi.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seraya yang juga Pengerusi Rukun Tertangga Taman Seraya Fasa 1, Low Yoki berkata, beliau menyedari kejadian itu apabila terdengar jeritan jirannya.

"Ketika kejadian pemilik rumah tiada. Penjenayah mungkin memecah masuk melalui tingkap di tingkat atas kediaman berkenaan.

"Penduduk segera menghubungi polis untuk tindakan lanjut dan polis tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian untuk menahan penjenayah,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, seorang lelaki berusia 30 tahun mendakwa terdengar bunyi benda terhempas di tempat kejadian.

“Lelaki tersebut ternampak dua lelaki mencurigakan sedang memanjat tiang Telekom untuk memecah masuk ke dalam rumah jirannya sebelum dia menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

"Kita tangkap dua suspek yang sedang bersembunyi di tepi tangki air di atas bumbung kediaman itu. Semasa tangkapan kedua-dua lelaki tersebut bertindak agresif dan berlaku pergelutan," katanya ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, polis merampas dua pemutar skru dan playar yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah.

“Kita juga merampas lapan buah telefon bimbit pelbagai janama, dua beg bimbit dan bag galas, mata wang Indonesia, satu pasport asing, sebuah komputer riba, dua keping surat pajak gadai, dua buah kenderaan Jenis Nissan Sentra dan Proton Persona,” katanya.

Katanya, tangkapan dua lelaki membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki yang disyaki terlibat dengan kes pecah rumah.

“Susulan tangkapan ini kita percaya dapat menyelesaikan lima kes kejadian pecah rumah yang berlaku di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

“Semakan mendapati salah seorang suspek memiliki rekod lampau dalam kejadian pecah rumah. Kesemua suspek yang ditahan itu memiliki kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR),” katanya.

Noor Azmi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah.