Hanya nama, nombor telefon direkod menerusi aplikasi SELangkah

Dr Siti Mariah
Dr Siti Mariah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memberi jaminan hanya nama dan nombor telefon pengunjung premis direkodkan menerusi portal pendaftaran ‘Langkah Masuk Dengan Selamat’ (SELangkah) yang dibangunkan Jawatankuasa Tetap Kesihatan dan Selangor Task Force Covid-19 (STFC).

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tiada data peribadi lain yang akan disimpan untuk tujuan komersialisasi.

Menurutnya, inisiatif SELangkah diperkenalkan kerajaan negeri untuk merekod kehadiran pengunjung ke premis kerajaan dan perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Inisiatif menggunakan kemudahan teknologi ini bertujuan mendigitalkan rekod kehadiran bagi memudahkan usaha pengesanan kontak (contact tracing) dilakukan oleh petugas kesihatan sekiranya terdapat kes positif yang dikesan di sesebuah premis.

ARTIKEL BERKAITAN: 148,432 premis guna aplikasi SELangkah kesan Covid-19

“Sehingga 11 Mei lalu, seramai 1,039,288 pengunjung telah merekodkan kehadiran mereka ke premis-premis tersebut sejak portal pendaftaran diperkenalkan pada 5 Mei lalu,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata, kerajaan negeri yakin inisiatif SELangkah boleh menjadi sumber digital yang dapat meningkatkan kecekapan pengumpulan data, menjimatkan masa serta mengurangkan risiko jangkitan disebabkan daripada perkongsian alat tulis sekiranya kehadiran direkodkan secara manual.

Menurutnya, kerajaan negeri turut berkongsi akses sistem SELangkah tersebut dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi tujuan pengesanan kontak dan memudahkan urusan pasukan petugas barisan hadapan melaksanakan tanggungjawab mereka.

Jelasnya, bagi tujuan pemantauan dan audit kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan ekonomi semasa PKPB pula, kerajaan negeri turut berkongsi akses log sistem SELangkah kepada penguatkuasa daripada pelbagai agensi seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel Berkaitan:

“Dengan wujudnya integrasi ini, saya ingin memaklumkan bahawa pihak premis perniagaan khususnya, tidak perlu lagi mewujudkan duplikasi rekod manual sekiranya pengguna menggunakan sistem SELangkah.

“Bagaimanapun, log manual masih boleh digunakan bagi pengunjung yang tidak mempunyai telefon bimbit pintar,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri menggesa semua pemilik premis dan rakyat Selangor yang masih belum mendaftar untuk memanfaatkan Sistem SELangkah kerana melalui kaedah tersebut mampu melindungi premis, diri dan seterusnya membantu memudahkan urusan petugas barisan hadapan yang perlu membuat pengesanan kontak.