Belia diperlukan di Pasar Borong Kuala Lumpur

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Khidmat golongan belia diperlukan untuk mengisi kekosongan tenaga kerja di Pasar Borong Kuala Lumpur bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kekosongan tersebut belum mencukupi jika diisi dengan kumpulan gelandangan menerusi program penempatan pekerjaan yang dilaksanakan baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat permintaan dalam kalangan persatuan pemborong di Pasar Borong Kuala Lumpur yang merayu untuk menggajikan semula beberapa pekerja asing susulan masalah kekurangan pekerja.

"Saya telah meminta kepada mereka untuk memberikan kerjasama dengan kerajaan supaya amalan mengambil pekerja asing sebagai jalan mudah ini tidak diteruskan sebaliknya kekal dengan cara sekarang menggunakan orang tempatan.

"Saya sedang memikirkan untuk membawa golongan belia bekerja (di pasar borong) menggunakan kaedah baharu termasuk gaji sekitar RM2,400 dengan kemudahan yang baik termasuk tempat tinggal dan pengangkutan sebagai persiapan mengisi kekosongan tenaga kerja itu," katanya pada Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda khususnya bagi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya cabar anak muda untuk tidak memilih pekerjaan dan jangan anggap sektor 3D kotor serta susah kerana apabila kita tak berminat ia membuka peluang kepada warga asing mengisi kekosongan itu

"Penularan koronavirus (Covid-19) harus dijadikan iktibar dengan selepas PKP ini kita tak perlu jadi penganggur atau duduk saja kerana hilang pekerjaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan akan menghimpunkan peluang pekerjaan termasuk di pasar borong yang memerlukan antara 3,000 hingga 4,000 pekerja.

"Saya perlukan pekerja tempatan dari mengambil semula beribu pekerja asing. Harap semua beri kerjasama, saya tahu tak mudah, (lambakan pekerja asing) bukan isu baru tapi jika kita tak bermula dari sekarang bila lagi.

"Saya harap kita ada semangat baru pasca PKP untuk ambil setiap peluang sama ada berniaga secara kecil atau besar dan mengisi peluang kerja yang ada," katanya.