Aktiviti ziarah hanya pada hari raya pertama

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan menetapkan aktiviti ziarah-menziarahi pada setiap perayaan dalam masa terdekat ini hanya dihadkan pada hari pertama sahaja.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti itu juga hanya terhad kepada 20 orang pada hari tersebut terdiri daripada ahli keluarga terdekat.

"Prosedur operasi standard (SOP) perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dalam masa terdekat ini hanya dihadkan pada hari pertama sahaja dan tidak boleh pada hari kedua serta seterusnya.

"Perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam. Hanya 20 orang sahaja pada hari tersebut," katanya pada pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah 20 orang tetamu pada hari raya pertama itu juga bergantung kepada saiz kediaman.

"Kalau kata pangsapuri bersaiz 600 kaki persegi, 20 orang dalam satu masa mungkin terlalu ramai dan penjarakan sosial tidak dapat dilakukan.

"Mungkin lima orang dalam satu-satu masa sesuai. Namun jumlah maksimumnya ialah 20 orang untuk satu hari (hari raya pertama)," katanya.

Ismail Sabri menasihati orang ramai supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti mengambil suhu, mengamalkan penjarakan sosial dan kerap membersihkan tangan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau boleh galakkan orang yang mahu datang ke rumah kita supaya memakai topeng muka dan apa yang penting ialah penjarakan sosial," katanya.

Jelasnya, pelaksanaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebenarnya bertujuan untuk memastikan rakyat di negara ini berada di rumah bagi mengelakkan bertemu dengan ramai orang.

"Walaupun sudah ada kelonggaran diberikan seperti kelonggaran berhari raya dan sebagainya, kalau boleh kita sendiri mengambil inisiatif cuba mengelakkan berjumpa dengan ramai orang.

"Saya ambil contoh beberapa kes di luar negara seperti di Bahrain di masa satu keluarga terdiri daripada 16 orang mengadakan majlis iftar, akhirnya didapati kesemua mereka positif Covid-19. Begitu juga dengan kes di New Jersey, Amerika Syarikat apabila empat sekeluarga mengadakan jamuan makan akhirnya kesemua mereka positif dan meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, orang ramai mempunyai pilihan untuk menjaga keselamatan keluarga walaupun kelonggaran pada hari diberikan kepada mereka.

"Kita perlu ambil pendirian dan ketetapan siapa boleh berhari raya dengan kita dan sebagainya. Mereka yang berisiko ialah warga emas dan mungkin waktu hari raya kita akan berjumpa dengan nenek berusia 80 tahun, tetapi sebenarnya kehadiran kita mendatangkan bahawa kepada golongan itu.

"Oleh itu walaupun kerajaan memberikan kelonggaran berhari raya dengan keluarga, tetapi kita sendiri bertanggungjawab sama ada mahu menerima tetamu atau hanya beraya bersama ahli keluarga yang ada dalam rumah sendiri," katanya.