Awas geng plastik hitam!

Pegawai JAIPk memberi nasihat kepada individu-individu bergama Islam untuk menghormati bulan Ramadan dalam operasi Geng Plastik Hitam. -Foto: FB Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, JAIPk
Pegawai JAIPk memberi nasihat kepada individu-individu bergama Islam untuk menghormati bulan Ramadan dalam operasi Geng Plastik Hitam. -Foto: FB Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, JAIPk
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mempergiatkan operasi Geng Plastik Hitam dengan melakukan pemantauan di lokasi-lokasi utama kaki ponteng puasa di seluruh daerah.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, operasi itu kini diperhebatkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerana masyarakat awam mula dibenarkan untuk keluar dalam tempoh itu.

“Pemantauan ini telah mula dilaksanakan sejak awal Ramadan namun, ia terus diperhebatkan sejak PKPB di mana masyarakat telah dibenarkan untuk keluar untuk melakukan urusan harian.

“Operasi dijalankan setiap hari di seluruh daerah menumpukan lokasi kaki ponteng seperti kedai mamak, restoran, kawasan perkelahan dan tempat- tempat yang telah dikenal pasti menjadi lokasi wajib kumpulan ini saban tahun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

JAIPk giat menjalankan operasi geng plastik hitam sejak PKPB dilaksanakan. -Foto: FB Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, JAIPk
JAIPk giat menjalankan operasi geng plastik hitam sejak PKPB dilaksanakan. -Foto: FB Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, JAIPk

Menurutnya, tiada tangkapan dilakukan dan pihaknya hanya memberi nasihat sepanjang operasi itu berlangsung.

“JAIPk menguatkuasakan Seksyen 24 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 iaitu kesalahan tidak menghormati Ramadan. Jika disabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

”Kita menasihati orang ramai agar mensyukuri nikmat kebebasan dan kesihatan yang diperoleh serta terus mentaati perintah ALLAH SWT agar berpuasa di bulan Ramadan,” katanya.

Artikel Berkaitan: