'Kantoi' jual nasi bungkus kepada kaki ponteng puasa

Wanita dan anak lelakinya ketika ditahan. Nasi bungkus berlauk ikan dan ayam dijual kepada kaki ponteng puasa di sekitar Jalan Padang Tembak.
Wanita dan anak lelakinya ketika ditahan. Nasi bungkus berlauk ikan dan ayam dijual kepada kaki ponteng puasa di sekitar Jalan Padang Tembak.
A
A
A

KOTA BHARU - Perbuatan dua beranak dipercayai menjual nasi bungkus dengan menaiki sebuah kereta kepada geng plastik hitam berjaya dihidu pihak berkuasa di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

Wanita yang berusia dalam lingkungan 50-an dan anak lelakinya berusia 20-an itu ditahan pada jam 9 pagi oleh anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaheaik, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, pihaknya menjalankan intipan selama seminggu berdasarkan maklumat daripada orang awam.

"Anak kepada wanita itu memandu kereta Perodua Myvi manakala ibunya menjual nasi bungkus berlauk ikan dan ayam di sekitar Jalan Padang Tembak.

“Semasa serbuan dijalankan, kita turut menahan dua lelaki pemandu lori berusia dalam lingkungan 40-an yang membeli nasi bungkus dijual oleh dua beranak itu," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Menurut beliau, dua beranak itu merupakan peniaga nasi berlauk yang terkenal di Kota Bharu.

Ujarnya, kedua-dua suspek juga dipercayai menjual nasi kepada individu yang ponteng puasa sejak tahun lalu dan meneruskan kegiatan tersebut pada hari pertama Ramadan tahun ini.

"Dua beranak itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual makanan.

“Selain itu, dua pelanggan mereka pula disiasat mengikut Seksyen 54 enakmen sama kerana bersubahat tidak menghormati Ramadan,” katanya.

Tambah beliau, keempat-empat yang ditahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21 enakmen sama kerana melakukan perbuatan tidak sopan bertentangan hukum syarak di tempat awam yang memperuntukan hukuman denda RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-dua jika disabitkan kesalahan.

Ujarnya, keempat-empat yang ditahan dibebaskan dengan bon jamin dan mereka diminta untuk hadir ke Mahkamah Syariah dalam tempoh terdekat.