Upah jaga kebun sara isteri hidap kanser, 6 anak bersekolah

Ariffin bersama isteri dan anak sulungnya di rumah mereka di Kampung Banting.
Ariffin bersama isteri dan anak sulungnya di rumah mereka di Kampung Banting.
A
A
A

SABAK BERNAM - Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah gambaran kehidupan pasangan suami isteri yang terpaksa menghadapi ujian bukan sahaja dari segi kewangan, malah turut berdepan masalah kesihatan.

Ariffin Abd Hamid, 55, berkata, dia yang sebelum ini bergantung harap kepada pendapatan mengait kelapa sawit bagi menyara keluarga tidak lagi mampu melakukan kerja berat itu selepas bahu kanannya cedera akibat tertusuk bilah sabit.

Lebih memilukan katanya, apabila isterinya, Harlina Mohd Tuan, 42, bukan sahaja disahkan menghidap kanser payu dara yang dikesan ketika hamil anak bongsu mereka sejak dua tahun lalu, malah turut disahkan kanser tulang tahap empat sejak dua bulan lalu.

"Saya bersyukur apabila anak dalam kandungan tidak gugur walaupun isteri terpaksa menjalani pembedahan membuang sel kanser," katanya kepada Sinar Harian sambil memberitahu dia kini hanya bergantung sepenuhnya kepada hasil upah menjaga kebun adik-beradiknya selain menjalankan kerja-kerja menanam sayur.

Mengulas lanjut, Ariffin yang menetap di Kampung Banting di sini berkata, sejak isterinya disahkan menghidap kanser payudara, dia tidak mampu menyediakan kos ulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan selepas enam kali menjalani kemoterapi.

"Saya pula pendapatan tak tetap dan hanya bergantung harap kepada upah menjaga kebun kelapa sawit yang dianggarkan hanya RM400 sebulan," katanya.

Ariffin berkata, sebelum ini dia menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi bayaran kos ulang-alik ke hospital, namun bantuan itu kini tidak lagi diperoleh.

Pada masa sama katanya, enam daripada lapan anaknya masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan tinggi.

Artikel Berkaitan:

Anak sulungnya, Fatin Nursyafiqa, 21, pula terpaksa menolak tawaran menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Univerisiti Sains Islam Malaysia (USIM) berikutan kesempitan hidup.

"Sebagai bapa saya memang ada keinginan melihat anak belajar sampai ke menara gading tapi atas faktor kekangan kewangan kami tak mampu meneruskan hasrat itu.

"Adik-adiknya lain juga memerlukan perbelanjaan ke sekolah dan saya buntu memikirkan masa depan mereka dalam keadaan kami dihimpit kemiskinan," katanya.

Sementara itu, nasib yang menimpa keluarga itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail yang menyalurkan sumbangan keperluan untuk keluarga berkenaan.

"Kita akan panjangkan perkara ini kepada pihak berwajib dan memastikan keluarga ini mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Ariffin di talian 019-3187044 atau menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Harlina Mohd Tuan melalui nombor 1014841000098321.