Wanita sarat mengandung pecut motosikal selamatkan diri

Keadaan PPS Dewan Tebing Tinggi yang menempatkan 15 mangsa banjir dari lima keluarga.
Keadaan PPS Dewan Tebing Tinggi yang menempatkan 15 mangsa banjir dari lima keluarga.
A
A
A

KAMPAR - Seorang wanita yang sedang sarat mengandung tujuh bulan nekad menunggang motosikal sendiri sejauh hampir satu kilometer bersama dua anak kecilnya untuk menyelamatkan diri dari bencana banjir di Kampung Tebing Tinggi, Malim Nawar, dekat sini.

Dalam kejadian sekitar jam 8.30 malam itu, Nora Raszli, 26, membawa bersama dua anaknya berusia empat dan dua tahun untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Tebing Tinggi, di sini.

Ketika ditemui, Nora berkata, dia terpaksa bertindak begitu kerana bimbang keadaan rumah yang licin akibat dipenuhi air dan kemungkinan dimasuki haiwan berbisa.

Nora
Nora

"Dari kelmarin lagi, air dah mula masuk di bahagian dapur, ditambah pula hujan lebat petang semalam tak berhenti, air melimpah masuk sampai ke bilik dan ruang tamu.

"Bimbang keadaan lebih teruk, saya keluar membawa dua anak saya dan pergi ke pusat pemindahan yang dibuka, keadaan di sini lebih selamat," katanya.

Nora yang hamil anak ketiga antara 15 mangsa membabitkan lima keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Tebing Tinggi itu, sejak semalam selepas kediaman mereka dinaiki air antara 0.1 hingga 0.3 meter.

Menurutnya, ini pengalaman kedua menempuh banjir dan ditempatkan di pusat pemindahan ketika sedang hamil.

Artikel Berkaitan:

"Ketika hamil anak kedua dulu pun keadaan seperti ini juga, mungkin dah ada pengalaman, jadi saya tidaklah begitu panik, cuma ambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Mahani Mansor, 54, berkata, hujan lebat mula melanda kawasan itu sejak jam 3 petang lagi dan ketika itu dia sedang menyediakan masakan untuk berbuka.

"Bila nampak air makin lama makin melimpah masuk dalam rumah, saya terus berhenti masak dan minta tolong anak-anak pindahkan perabot serta perkakas dapur ke tempat tinggi.

"Sebelum ini kami tak sempat nak selamatkan barang, kesannya habis semua rosak," katanya.

Keadaan banjir yang melanda kawasan Kampung Tebing Tinggi, malam semalam.
Keadaan banjir yang melanda kawasan Kampung Tebing Tinggi, malam semalam.

Dia berkata, kejadian banjir memang kerap berlaku di kampung itu kerana kawasan rendah dan kebanyakan rumah berada hampir dengan lombong.

"Cuma inilah pertama kali banjir berlaku ketika kita berpuasa, harap janganlah berlanjutan sampai raya," katanya.

Dalam pada itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, setakat jam 6 petang tadi, seramai 31 mangsa banjir masih ditempatkan di dua PPS iaitu di daerah Kampar dan Larut Matang Selama.

Katanya, 15 mangsa banjir ditempatkan di PPS Dewan Tebing Tinggi yang dibuka kira-kira jam 8.30 malam terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh wanita.

"16 lagi mangsa banjir terdiri daripada 10 lelaki dan 6 wanita di daerah Larut Matang dan Selama ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Ibol sejak jam 10.30 malam semalam," katanya.

Dua PPS iaitu Dewan Batu 8, Changkat Jering, Taiping yang sebelum ini menempatkan 22 mangsa dan Masjid Batu 8, Changkat Jering (12 mangsa) telah ditutup pada jam 5 petang tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang.