'Pematuhan PKPB capai 95 peratus, tahniah rakyat Malaysia'

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kadar pematuhan orang ramai terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak diumumkan 4 Mei lalu kini telah mencapai 95 peratus.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang mempunyai kawalan kendiri yang tinggi.

“Kerjasama berterusan daripada anda semua amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan (koronavirus) Covid-19.

“Semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) PKPB sebelum ini akan kekal berkuat kuasa dan sebarang perubahan SOP akan dimaklumkan oleh pihak kerajaan dari masa ke masa,” katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kelapan di kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor, Menteri Pertahanan itu berkata, ia melibatkan 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan.

Katanya, pelaksanaan PKPD kelapan yang berkuat kuasa sejak 10 sehingga 23 Mei ini dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan.

“Justeru kerajaan meminta semua penghuni agar bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

“Petugas-petugas kesihatan akan melakukan saringan Covid-19 ke atas penghuni terbabit dan kerajaan akan menyalurkan bantuan makanan termasuk barangan basah kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Artikel Berkaitan: