Covid-19 jerut industri akhbar

Jualan surat khabar seluruh dunia merudum sewaktu wabak Covid-19.
Jualan surat khabar seluruh dunia merudum sewaktu wabak Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Tanpa gagal, setiap hari media cetak terutamanya surat khabar menyajikan pembaca dengan berita terkini pandemik Covid-19 yang melanda dunia namun ironinya, pandemik itu juga perlahan-lahan ‘membunuh’ industri surat khabar yang melaporkannya.

Umumnya, industri surat khabar di seluruh dunia telah berdepan tempoh yang sukar antara lain disebabkan kemunculan pelbagai platform berita dalam talian yang semakin mendominasi pasaran.

Kini, kemunculan pandemik maut Covid-19 semakin menjerut para pemain industri surat khabar, di United Kingdom misalnya, sumber industri memaklumkan jualan akhbar nasional jatuh sebanyak 30 peratus sejak permulaan perintah lockdown yang diarahkan kerajaan bagi mengelak penularan virus.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat laporan mengatakan ratusan wartawan bakal kehilangan pekerjaan berikutan situasi syarikat akhbar yang semakin tidak menentu.

Pengarah Reuters Institute di Universiti Oxford, Rasmus Kleis Nielsen, meramalkan kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19 berkemungkinan melenyapkan 10 peratus daripada kesemua kerja kewartawanan di UK.

Nielsen turut menzahirkan kebimbangan ramai dalam industri terbabit apabila beliau mengatakan kebimbangan utama untuk akhbar UK adalah pembaca akhbar cetak yang tinggal akan mula meninggalkan tabiat membaca akhbar fizikal ketika lockdown.

"Orang ramai akan mula meluangkan banyak masa dalam talian dan setakat ini, kita melihat hanya sedikit yang kembali ke media offline setelah mula tertarik kepada media dalam talian," katanya.

Dalam pada itu, banyak syarikat penerbitan mengadu sukar untuk bertahan dalam ekonomi semasa yang nazak, dan akhirnya terpaksa menangguhkan atau menghentikan penerbitan akhbar.

Artikel Berkaitan:

Penghasilan akhbar berkurangan secara drastik disebabkan masalah pengedaran dan saiz akhbar juga dikurangkan berikutan ketiadaan iklan.

No Image Caption

Meskipun pengumuman dibuat penerbit akhbar menekankan langkah dramatik yang diambil berikutan krisis Covid-19 hanya bersifat sementara namun dipercayai industri akhbar UK yang mempunyai sejarah selama 380 tahun itu bakal berdepan detik transformasi.

Tidak akan ada istilah pemulihan ‘media lama’ pasca pandemik kerana penerbit akhbar yang telah sekian lama berjuang untuk terus bertahan tidak akan dapat kembali kepada status quo asal.

Ini kerana status quo itu sendiri, menyebabkan penerbit akhbar harus berdepan masalah kejatuhan industri dan pada masa sama mencari jalan mencipta model perniagaan kewartawanan digital.

"Orang ramai akan mula meluangkan banyak masa dalam talian dan setakat ini, kita melihat hanya sedikit yang kembali ke media offline setelah mula tertarik kepada media dalam talian," katanya.

Menjelang penamat lockdown yang seakan masih jauh, banyak syarikat mungkin tidak akan pulih. Mungkin ada yang berusaha untuk memulihkan perniagaan menerusi pengiklanan namun bebanan kewangan yang dihadapi bakal pelanggan disebabkan ketiadaan pendapatan ketika krisis akan menyukarkan usaha berkenaan untuk membuahkan hasil.

Pasca lockdown, syarikat penerbitan terpaksa menilai semula situasi perniagaan masing-masing. Selain kesukaran yang dihadapi untuk memenangi kembali pelanggan, mereka juga terpaksa membuat keputusan rasional berhubung perniagaan.

Badai Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) juga membawa khabar suram buat industri surat khabarnya.

Berita pandemik ini merupakan antara 'scoop' berita terbesar dalam sejarah, namun pakar industri memberi amaran, virus pembunuh yang setakat ini menjangkiti 3.9 juta penduduk dunia itu akan melenyapkan ratusan organisasi berita, menyebabkan wartawan kehilangan pekerjaan dan penamat bagi sesetengah surat khabar.

Sebelum krisis Covid-19, industri surat khabar AS telah berada dalam keadaan tidak menentu, dilaporkan kira-kira 1,800 akhbar ditutup antara tahun 2004 dan 2018 berikutan jumlah pembeli akhbar cetak yang semakin berkurangan.

Kini, media seluruh AS yang mengalami penurunan dalam pengiklanan disebabkan kelumpuhan ekonomi terpaksa memberhentikan pekerja, dan sebahagian akhbar telah menghentikan penerbitan dan beralih kepada operasi digital.

Di Louisiana, salah satu negeri di AS yang paling teruk terkesan akibat krisis Covid-19, akhbar Times-Picayune dan The Advocate memberi cuti daripada bertugas kepada 10 peratus daripada 400 pekerjanya, selebihnya hanya bekerja empat hari seminggu.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Operasi The Times, Paul Tash berkata, beliau berharap dapat memulihkan operasi seperti normal di masa akan datang namun kebanyakan pakar menyatakan ketidakpastian tentang hal itu berlaku.