Polis rampas dadah bernilai lebih RM58,000

Ramli (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
Ramli (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

TAMPIN - Polis berjaya menahan seorang lelaki selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin melibatkan nilai rampasan berjumlah RM58,660 di sini Selasa lalu.

Ketua Polis daerah Tampin, Superintenden Ramli Kasa berkata, lelaki berusia 40 tahun ditahan di kediamannya di Taman Desa Permai dekat sini dalam serbuan jam 9.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis daerah ( IPD) Tampin.

"Suspek pada awalnya cuba meloloskan diri sebaik ternampak pasukan serbuan, bagaimanapun tindakannya itu tidak kesampaian .

"Manakala hasil serbuan, polis menjumpai dadah jenis heroin seberat 1.6 kilogram dekat dua lokasi berlainan iaitu berhampiran kediamannya dan di ladang kelapa sawit dengan jarak 500 meter dari rumahnya.

"Serbuan ini, dilakukan hasil intipan dan risikan selama sebulan mendapati lelaki ini dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah sekitar Tampin dan daerah bersempadanan," katanya dalam sidang media di IPD Tampin, hari ini.

 Dadah jenis heroin yang dirampas.
Dadah jenis heroin yang dirampas.

Ramli berkata, dadah dengan jumlah tersebut boleh dibekalkan kepada 2,500 ke 3,000 penagih dadah dalam satu-satu masa yang mana secara purata seorang penagih memerlukan 0.5 gram dadah.

"Suspek dipercayai aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu yang mana hasil semakan lanjut, dia juga mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimana pun hasil ujian urin, suspek didapati negatif dadah. Untuk tindakan lanjut, polis turut menyita sebuah motosikal suspek jenis Demak Evo Z yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah," katanya.

Kes ini seterusnya disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek kini dalam reman selama tujuh hari bermula 16 Januari sehingga 22 Januari ini.